suria

Rakyat Sarawak Ikhlas Sokong Kerajaan - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis makan malam sempena Gawai Dayak anjuran Sarawak Dayak National Union (SDNU) di Pusat Konvensyen Borneo malam Selasa. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (kiri). -fotoBERNAMA
KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa memuji seluruh penduduk Sarawak, terutama kaum Dayak yang mewakili kaum majoriti Bumi Kenyalang, yang dilihatnya sebagai kelompok yang benar-benar tahu erti mengenang budi dan ikhlas dalam memberi sokongan kepada kerajaan.

Katanya beliau yang menjadi Perdana Menteri paling kerap turun ke Sarawak berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini, yakin dan percaya bahawa sokongan itu diberikan kerana kumpulan ini percaya bahawa kerajaan pimpinan beliau hari ini memberi ruang lebih luas kepada setiap kelompok masyarakat untuk membangun bersama.

"Saya berazam, kita tidak boleh membenarkan mana-mana komuniti, besar atau kecil untuk merasa mereka dipinggirkan atau diabaikan daripada pembangunan arus perdana negara," katanya semasa berucap di majlis Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-59 Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Menurutnya apa yang diperlukan oleh setiap komuniti untuk menjadi lebih progresif dan maju adalah bagi mereka untuk merasa bahawa mereka adalah sebahagian daripada anggota sebuah negara dan Malaysia tidak boleh menjadi sebuah negara hebat sekiranya setiap komuniti tidak bersatu.

Najib berkata beliau boleh memilih untuk hanya berada di pejabatnya di Putrajaya untuk mendengar taklimat dan membaca laporan mengenai keperluan Sarawak, namun ia sebenarnya tidak sama jika dibandingkan beliau sendiri turun padang menemui masyarakat peringkat akar umbi, untuk mendengar sendiri "denyut nadi rakyat".

Perdana Menteri seterusnya menyenaraikan beberapa perkara yang dilihatnya amat diperlukan oleh penduduk Sarawak terutama komuniti Dayak, dengan meletakkan pembangunan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar sebagai menjadi keutamaan, diikuti dengan peluang pendidikan, serta penyelesaian berhubung isu tanah hak adat pribumi Sarawak (NCR).

Katanya beliau banyak berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berhubung perkara itu dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani isu berkenaan.

Awal bulan ini Perdana Menteri dalam catatan di akaun Facebook dan Twitter miliknya berkata: "Tidak ada sesiapa yang boleh mempersoal hak kelahiran Bumiputera Sarawak".

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan beliau baru-baru ini juga, Najib antara lain memberi fokus terhadap urusan pengeluaran hak milik tanah NCR kepada Pribumi dan Bumiputera Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan pembangunan tanah menggunakan teknologi moden melalui agensi kerajaan.

Najib seterusnya berkata beliau juga melihat pekebun-pekebun kecil di Sarawak perlu diberi peluang untuk membabitkan diri dalam bidang keusahawanan bagi meningkatkan taraf hidup mereka, sekali gus membantu dalam kemajuan luar bandar.

Katanya selain itu beliau juga yakin dengan kerjasama badan-badan seperti Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), lebih banyak peluang akan dibuka kepada kumpulan Dayak untuk menduduki jawatan tinggi dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

SDNU merupakan badan bukan kerajaan yang tidak terlibat dengan politik, menjadi payung kepada organisasi Dayak yang mempunyai lebih 30,000 anggota, di samping 100,000 anggota dari kelab-kelab yang bersekutu dengannya, dengan objektif melaksanakan pendekatan yang sederhana tapi progresif memperjuangkan kepentingan masyarakat.

Hadir sama di majlis malam ini ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, serta anggota barisan kabinet negeri.

Selepas majlis makan malam yang disulami dengan pelbagai persembahan pentas istimewa untuk hiburan hadirin, Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan berlepas pulang ke ibu negara, menamatkan lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak.
Datuk Seri Najib Tun Razak, BCCK

Artikel Lain