suria

Kedudukan Azmin Sebagai MB Selangor Mungkin Tak Terjejas

Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR: Kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor tidak mungkin terjejas dengan berakhirnya riwayat Pakatan Rakyat.

"Beliau hanya boleh disingkirkan melalui usul undi tidak percaya di dewan undangan negeri, tetapi ini tidak mungkin berlaku," kata Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-undang dan Pentadbiran Awam, Majlis Profesor Negara.

"DAP hanya berkata Pakatan tidak lagi wujud. Parti itu tidak berkata ia tidak akan menyokong Azmin. Adalah difahamkan, PKR, dengan Mohamed Azmin sebagai timbalan presidennya, mempunyai hubungan baik dengan DAP dan PAS," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata Mohamed Azmin mungkin akan dipanggil menghadap oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberi penjelasan tentang keadaan yang wujud.

Para pemerhati percaya Mohamed Azmin tidak akan menghadapi banyak masalah untuk meyakinkan Sultan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti sama ada dengan adanya atau tiadanya Pakatan Rakyat.

Kata mereka, Pakatan Rakyat tidak didaftarkan sebagai sebuah parti gabungan, tetapi hanya merupakan suatu pakatan longgar yang ditubuhkan pada April 2008.

Nik Ahmad Kamal mengulas tentang pengumuman DAP bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud setelah Muktamar PAS meluluskan resolusi yang menggesa parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Resolusi itu dibuat berikutan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai reaksi terhadap rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kerusi, 15 daripadanya disandang DAP, 15 PAS, 13 PKR, 12 Barisan Nasional dan satu Bebas.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata Mohamed Azmin perlu mendapatkan deklarasi berkanun mengenai sokongan daripada beberapa anggota dewan undangan negeri itu untuk menjamain kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Artikel Lain