suria

Peserta Himpunan Di Istana Johor Semakin Meningkat

JOHOR BAHRU: Orang ramai yang hadir dan berhimpun di Istana Bukit Serene di sini bagi menyatakan sokongan kepada Tunku Mahkota Johor semakin meningkat, petang Selasa.

Rakyat Johor dari pelbagai latar belakang, kaum dan peringkat umur dilihat berkumpul sebagai tanda solidariti terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang terlibat dalam perang mulut dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Perhimpunan tersebut yang dinamakan 'Perhimpunan Menjunjung Kasih DYMM Sultan Johor' dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Banyak kenderaan dilihat diletakkan di tepi jalan berhampiran istana di Danga Bay.

Ketika NGO bergilir-gilir menyambut kedatangan orang ramai, teriakan gemuruh 'Daulat Tuanku' bergema di sekitar Danga Bay.



Suasana karnival turut tercetus dengan kehadiran penyokong kelab bola sepak JDT.

Pada Sabtu, Nazri mengkritik Tunku Ismail dengan berkata TMJ tidak perlu campur tangan dalam politik atau perlu tertakluk kepada peraturan yang sama dan 'dibelasah'.

Nazri berkata demikian sebagai mengulas posting yang dibuat oleh Tunku Ismail pada 5 Jun, mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menghadiri sesi dialog terbuka yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk membincangkan isu-isu nasional.



Tunku Ismail dengan segera memberi maklum balas melalui posting video di laman Facebook Johor Southern Tigers di mana beliau berpaling ke arah kamera dan membuat isyarat dengan tangan kirinya, membayangkan beliau tidak takut untuk menghadapi sebarang cabaran.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nazri akan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan kerana kenyataan beliau terhadap Tunku Ismail.

Pada hari yang sama, Tunku Ismail berkata kepada Nazri dalam postingnya bahawa 'beliau adalah menteri dan bukan Tuhan dari syurga'.

Artikel Lain