suria

"Saya Tak Boleh Cakap Banyak Nanti..." - TMJ

JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), memohon maaf kepada para penyokongnya yang berhimpun di hadapan pintu Istana Bukit Serene di sini pada petang Selasa kerana tidak dapat bercakap banyak kerana khuatir tindakannya itu bakal membangkitkan kemarahan pihak lain.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipercayai merujuk kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang kini diketahui umum sedang berbalas-balas kenyataan berhubung isu semasa dengannya.

"Terima kasih atas sokongan anda. Saya tidak mahu bercakap banyak, kerana ada orang di Putrajaya yang mahu membelasah saya," katanya kepada orang ramai di luar pintu istana di sini pada Selasa.

TMJ berkata beliau akan sentiasa menegakkan ketuanan negeri untuk memastikan keamanan dan keharmonian rakyat Johor.

"Saya akan terus bersuara untuk rakyat Johor," katanya.

Sebelum itu, TMJ menerima sorakan padu daripada orang ramai sebaik sahaja muncul di khalayak umum.

Kira-kira 1,500 warga Johor hadir yang di Istana Bukit Serene melaungkan 'Daulat Tuanku' sebaik sahaja TMJ bersama isteri dan adik-beradiknya, keluar untuk bertemu orang ramai.

Ahli-ahli daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berkumpul di hadapan istana Bukit Serene untuk menunjukkan kasih sayang dan sokongan mereka terhadap kerabat Diraja Johor.

Penyokong menuntut Nazri berundur daripada jawatannya kerana membuat kenyataan biadap terhadap keluarga diraja.

Kumpulan itu juga telah mengemukakan memorandum kepada pegawai-pegawai istana.

Orang ramai turut menyanyikan lagu negeri Johor sebelum kerabat Diraja kembali ke dalam kawasan istana dan himpunan kemudiannya berakhir kira-kira pukul 5.30 petang.

Artikel Lain