suria

Fitnah ARB: Wakil Rakyat Tanjong Diberi Tempoh Seminggu Untuk Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi tempoh tujuh hari kepada anggota Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik untuk menjawab notis tuntutan maaf berhubung satu fitnah yang dibuat wakil rakyat DAP itu terhadap Amanah Raya Berhad (ARB).

Beliau yang juga pengerusi ARB berkata tempoh itu diberi setelah Ng enggan menerima notis tuntutan yang dihantar oleh wakil kepada peguamnya, Isnin.

Katanya, tindakan undang-undang terhadap tuduhan Ng itu diambil memandangkan ia telah menjatuhkan reputasinya sebagai pengerusi ARB dan maruah peribadi.

"Ia melibatkan tuduhan palsu dan jahat untuk mencemarkan imej ARB dan maruah saya secara peribadi dan beliau (Ng) gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong tuduhan sebaliknya hanya menggunakan frasa 'sumber dalaman'.

"Beliau (Ng) mendakwa kononnya ARB meluluskan pinjaman berjumlah RM2 bilion kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) selepas pelantikan saya sebagai Pengerusi ARB, yang diikat dengan faedah tahunan empat peratus dan dikategorikan sebagai 'IOU Bill'," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Reezal Merican berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ng sekiranya beliau gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada Rabu lepas (10 Jun), Ng dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat mendakwa ARB telah memberi pinjaman RM2 bilion kepada syarikat 1MDB yang masih belum dibayar balik dan memberi kesan kepada aliran tunai syarikat berkaitan kerajaan itu.

Reezal Merican berkata notis tuntutan turut diberikan kepada dua portal berita tempatan (The Malaysian Insider  and  Free Malaysia Today) yang menyiarkan laporan berhubung dakwaan Ng itu.

Kedua-dua portal berita itu turut diberi masa selama tujuh hari bagi membuat permohonan maaf terbuka terhadap laporan mereka, katanya. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain