suria

Kapal Tangki Hilang: Ahmad Zahid Tidak Tolak Kemungkinan Kerja "Orang Dalam"

Ahmad Zahid menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Presiden Persatuan Malim Gunung Kinabalu Richard Soibi, Selasa.

KUNDASANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kes kehilangan kapal tangki di kawasan perairan Tanjung Sedili, Johor pada 12 Jun lalu merupakan kerja "orang dalam".

Katanya, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Pertahanan serta laluan serta kedudukan kapal tangki berkenaan, kehilangan kapal tangki itu adalah kes rompakan laut serta kerja orang dalam.

"Ini pengalaman saya sebagai mantan Menteri Pertahanan. Kita ada program dinamakan 'eyes in the sky', satu program khas di mana Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia bekerjasama (dan berpendapat) tidak ada lagi lanun atau piracy (sekarang).

"Apa yang berlaku ialah 'sea robbery' atau rompakan laut dan ini (kehilangan kapal tangki) termasuk dalam rompakan laut. Saya merasakan apa yang dinyatakan ada orang dalam kerana perjalanan ia (kapal), selok belok di mana kapal itu berada, barangan yang ada, memang tidak akan diperoleh daripada pihak luar kecuali orang dalam saja yang beritahu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat berkenaan Ops Kinabalu berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun lalu.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi Kementerian Dalam Negeri yang terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.

Sebelum itu, Ahmad Zahid turut menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada waris empat malim gunung di Bundu Tuhan yang terkorban semasa tragedi gempa bumi Sabah.

Menurut beliau, pihak polis akan melakukan siasatan bagi menentukan motif kehilangan kapal tangki berkenaan sebaik sahaja kapal itu ditemui.

Katanya setakat semalam, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia masih menjejaki kedudukan kapal itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Timbalan Perdana Menteri Singapura Tee Chee Hean ada menghubunginya melalui telefon, tiga hari selepas kejadian gempa bumi, bagi menyatakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya KDN, dalam membantu rakyat Singapura yang menjadi mangsa tragedi itu.

Beliau berkata Teo yang juga Menteri Dalam Negeri Singapura memuji kecekapan agensi penyelamat Malaysia yang berupaya menyediakan segala kemudahan kepada mangsa dan keluarga mangsa yang datang ke Sabah ekoran tragedi itu.

Ahmad Zahid juga memuji kecekapan semua agensi penyelamat gempa bumi sama ada di bawah KDN atau kementerian lain kerana menunjukkan kecekapan yang tinggi dalam operasi mencari dan menyelamat sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Mengenai anggota dan pegawai di bawah KDN yang turut menerima kesan gempa bumi berkenaan, beliau berkata kementeriannya akan membantu anggota dan pegawai berkenaan.

Katanya, dalam kejadian gempa bumi 5 Jun lalu, 78 keluarga anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas kira-kira 40 rekahan dikesan di kuarters mereka.

Katanya, selain IPD Ranau, turut mengalami rekahan ialah IPD Kota Belud, Tuaran dan Balai Polis Tamparuli.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain