suria

Forum Nothing2Hide: Tun M Sindir Najib

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk memberi sindiran tajam sebagai jawapan apabila ditanya mengenai forum ‘Nothing2Hide’ yang diadakan di Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau ‘salah’ apabila hadir ke forum tersebut yang dianggapnya terbuka kepada umum.

"Salah sayalah, saya ingat ia debat terbuka dan orang ramai kata saya akan pergi jadi saya pergilah.

"Saya tak mahu berdebat dengannya, saya cuma nak tanya soalan macam orang lain juga. Saya pun NGO, boleh tanya soalan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa ‘Plight of the Rohingya Part II Crime Against Humanity’ anjuran Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  di blognya bahawa adalah 'tidak sesuai' untuk beliau berdebat secara terbuka dengan Dr Mahathir dalam majlis dialog bersama NGO yang dibatalkan Jumaat minggu lalu.

"Majlis tersebut berubah daripada dialog tertutup kepada perbahasan terbuka. Ini akan menyebabkan konfrontasi politik secara terbuka antara Mahathir dan saya sendiri.

"Adalah tidak sesuai untuk berdebat seperti itu diadakan secara terbuka dengan bekas perdana menteri yang juga dari parti politik yang sama," kata Najib dalam blognya pada Rabu.

Dalam pada itu beliau sekali lagi menggelar Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy sebagai ‘penipu’, merujuk kepada pelaburan 1MDB sebanyak AS$2.318 bilion di Kepulauan Cayman.

Dr Mahathir berkata, Arul ketika mengambil alih 1MDB, ada mengatakan wang berkenaan sudah ditebus sepenuhnya.

"Dia boleh jawab kepada pihak berkuasa tapi hakikatnya dia tipu kata dia lihat wang tunai 1 bilion," katanya.

Mengenai tindakan Tunku Mahkota Johor yang turut mengeluarkan beberapa kenyataan pedas yang ditujukan kepada perdana menteri yang tidak muncul pada dialog Nothing2Hide, beliau berkata komen politik seperti itu tidak patut dibuat.

"Tapi kalau keadaan tertentu yang kurang menyenangkan, kadang-kadang kita perlu mencuitnya," katanya.

Nothing2Hide, Tun Mahathir, 1MDB

Artikel Lain