suria

Utamakan Kepentingan Parti - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta anggota Umno terus mengutamakan kepentingan parti demi kelangsungan masa depan parti berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata setiap anggota Umno tidak seharusnya bertindak keterlaluan berhubung sesuatu isu sehingga memberi kesan negatif kepada hala tuju parti itu.

"Macam-macam pandangan masing-masing dalam keadaan yang berlaku hari ini.

Yang pentingnya kita sendiri mesti teguhkan pendirian kita dalam (memilih) apa yang baik.

"...kerana akhirnya kita yang hendak tentukan parti, takkan hendak tinggalkan (lakukan sesuatu kepada) parti sehingga membawa sesuatu yang tidak baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan enam buku baharu terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di institut berkenaan, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ini.

Abdullah berkata anggota UMNO sewajarnya tahu membezakan urusan parti dengan isu lain bagi mengekalkan perpaduan dalam kalangan anggota parti itu, sama ada di peringkat pimpinan tertinggi mahupun akar umbi.

"Saya tidak keliru (krisis yang berlaku melibatkan Najib dan Dr Mahathir) dan saya tetap faham tentang UMNO," katanya.

Enam buku baharu itu ialah 'Pengurusan  and  Pemuliharaan Alam Sekitar Dari Perspektif Islam'; 'Kewangan Islam - Pemikiran Dan Penilaian Kontemporari'; 'Memperkasa Peranan Teknodaie - Cabaran Dalam Pembangunan Dan Penggunaan ICT'; 'Preservation Of Human Progeny In The Age Of Biotechnology'; 'The Influence Of Islam Upon Classical Arabic Scientific Writings: An Examination Of The Extent Of Their Reference To Quran, Hadith And Related Texts'; dan 'Makanan Antara Sunnah and  Sains'.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan enam buku baharu itu boleh didapati menerusi portal IKIM di www.ikim.gov.my dan Facebook IKIM.

Umno, Islam, Sains

Artikel Lain