suria

Kastam Gempur Sarang Rokok, Arak Seludup

GOMBAK: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mula menggempur salah satu kawasan panas di negeri ini bagi membanteras kegiatan penjualan rokok dan arak seludup.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Matrang Suhaili berkata, Gombak merupakan satu daripada tiga kawasan panas yang dikenal pasti menjadi sarang kegiatan berkenaan di Selangor.

"Pihak kami mendapat aduan mengenai penjualan rokok dan arak seludup secara berleluasa di kawasan ini.

"Justeru kami melancarkan operasi bersepadu dengan agensi lain seperti imigresen dan polis untuk membanteras kegiatan tersebut," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Seramai 40 anggota serta tujuh buah kenderaan JKDM akan ditugaskan untuk melakukan rondaan serta pemantauan di kawasan yang menjadi tumpuan dalam Ops Pacak ini.

"Anggota kami akan menjalankan pemantauan selama 24 jam bagi mengesan mana-mana peruncit atau premis yang menjual rokok serta arak seludup.

"Selain itu, risikan serta intipan turut dilakukan oleh anggota kami terhadap kegiatan penyeludupan serta penjualan di sini," katanya.

Sementara itu Matrang turut meminta orang ramai supaya membantu dan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan  penjualan dan penyeludupan rokok.

"Saya mohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan rokok dan minuman keras seludup dengan segera melaporkan kepada pihak berkuasa,' katanya.

Ops Pacak merupakan kesinambungan Ops Outlet Selangor yang dijalankan sehingga 31 Mei 2015 lalu yang menyaksikan jumlah rampasan barangan seludup dianggarkan sehingga RM92.2 juta.

Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai penjualan atau aktiviti penyeludupan rokok haram atau minuman keras boleh menghubungi talian berikut; 1-800-888-855.

Kastam, Rokok Seludup

Artikel Lain