suria

PAS Tidak Pinggirkan Golongan Profesional - Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) bertemu dengan timbalanya Mohamad Sabu sebaik tiba di Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Khamis. Turut hadir Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (tiga kanan).

KUALA SELANGOR: PAS tidak pernah meminggirkan kumpulan profesional dalam parti itu walaupun wujud gesaan supaya kepimpinan ulama perlu diperkukuhkan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Sebenarnya tidak ada pemisahan di antara ulama dan profesional dalam bahtera PAS. Apa yang berlaku adalah kita berhadapan dengan tempias sekularisma yang diwujudkan untuk menghalang kebangkitan Islam, yang cuba membolos ke dalam saf gerakan Islam.

"Usaha begini dilakukan musuh Islam di seluruh pelosok dunia dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan yang wujud dalam saf kebangkitan Islam terkini.

"Maka di sana wujud kalangan yang mahu menang secara cepat dan tergopoh-gapah," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, Khamis.

Ucapan Hadi itu dilihat berbeza dengan situasi sebenar yang berlaku sepanjang kempen pemilihan PAS apabila wujud perpecahan antara kumpulan pro-ulama dan profesional dalam parti itu.

Buktinya keputusan pemilihan bagi Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat menyaksikan kumpulan pro-ulama menang besar.

Mengulas lanjut Hadi berkata, PAS mengangkat kepimpinan ulama bagi memelihara asas dan matlamat Islam.

"Namun golongan profesional adalah tenaga kerja yang sangat penting dalam parti, sebagaimana pentingnya golongan ulama dan aktivis PAS.

"Bahkan kita menerima sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada kemenangan Islam," katanya.

Muktamar PAS, Ulama

Artikel Lain