Jennie dan Lady Gaga antara selebriti yang mengamalkan terapi rendaman air sejuk untuk penjagaan diri.
AMALAN cold plunging atau terapi rendaman air sejuk sudah lama menjadi sebahagian daripada rutin kecergasan dan penjagaan diri dalam kalangan atlet dan selebriti.Secara ringkasnya, kaedah ini dilakukan dengan merendamkan badan ke dalam air bersuhu sangat rendah untuk tempoh tertentu, lazimnya selepas melakukan aktiviti fizikal. Antara manfaat yang dikaitkan dengan terapi ini termasuk membantu mengurangkan sakit dan lenguh otot, selain mengurangkan bengkak serta keradangan selepas bersenam. Malah bagi sesetengah individu, rendaman ais ini turut dikatakan mampu meningkatkan fokus, mengurangkan tekanan emosi, dan membantu mendapatkan tidur yang lebih lena.Tidak hairanlah beberapa selebriti memilih amalan tersebut sebagai sebahagian daripada rutin pemulihan selepas persembahan atau aktiviti fizikal.Bagi pemain bola keranjang terkemuka, LeBron James misalnya, dia menggunakan terapi rendaman air sejuk sebagai sebahagian daripada rutin pemulihan dan persediaannya sebelum beraksi.Manakala penyanyi Harry Styles pernah berkongsi mengenai tabiat berenang dalam air sejuk dan menggunakan mandi ais sebagai sebahagian daripada rutin pemulihan selepas persembahan konsertnya.Harry Styles mengamalkan mandi ais selepas persembahan konsert diadakan.Penyanyi Lady Gaga juga pernah berkongsi hantaran menerusi Instagram, menggunakan mandi ais selama lima hingga 10 minit sebagai sebahagian daripada rutin pemulihan selepas persembahan.Turut menjadi amalan buat pemain bola sepak, David Beckham yang menjadikan rutin mandi ais untuk membantu mengurangkan keradangan dan mempercepatkan pemulihan otot selepas melakukan aktiviti fizikal.Dalam kalangan selebriti wanita, Hailey Bieber melakukan cold plunge kerana merasakan ia membantu menguruskan keresahan (anxiety) dan meningkatkan mood.Jennie daripada kumpulan Blackpink pula pernah berkongsi kepada majalah Vogue mengenai rendaman air sejuk sebagai sebahagian daripada rutin kesejahteraan diri, terutama untuk membantu merehatkan otot dan minda.Selain mereka, Hugh Jackman, Chris Hemsworth, Kelly Clarkson dan Gwyneth Paltrow juga pernah berkongsi pengalaman dengan terapi sejuk, sama ada untuk tujuan pemulihan fizikal dan rutin kesejahteraan diri.Risiko cold plungingWalaupun mempunyai beberapa manfaat, cold plunging bukan satu amalan yang sesuai untuk semua orang.Bagi pemula, suhu air sekitar 10 hingga 15 darjah Celsius boleh dijadikan titik permulaan, manakala suhu di bawah 4 darjah Celsius sebaiknya dielakkan. Sesi juga disarankan ringkas, dengan pemula mengehadkannya kepada sekitar satu hingga dua minit.Pendedahan terlalu lama boleh menyebabkan hipotermia, kebas, kesukaran bernafas dan mengurangkan kawalan pergerakan. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh menyebabkan kekejangan otot akibat suhu sejuk serta menyebabkan salur darah mengecut dan meningkatkan tekanan terhadap jantung.Individu yang mempunyai penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes atau masalah peredaran darah adalah disaran untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mencubanya.Bagi individu yang sihat, terapi ini sebaiknya dilakukan secara sederhana dan tidak terlalu lama kerana cold plunging juga bukan satu keperluan untuk mendapatkan manfaat daripada senaman.