DISANGKA sekadar sakit gastrik biasa, seorang wanita berusia 38 tahun berdepan detik cemas apabila kesakitan yang dialaminya itu sebenarnya petanda serangan jantung.Pengalaman pahit itu dikongsikan Liyana sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan sebarang perubahan atau kesakitan luar biasa dialami tubuh, walaupun pada usia muda. Menurut Liyana, pada mulanya dia menyangka hanya mengalami masalah gastrik teruk selepas rasa sakit perut dan muntah-muntah.Bagaimanapun, keadaan berubah apabila pemeriksaan doktor mengesahkan dia sebenarnya mengalami serangan jantung."Kalau ada yang beritahu seminggu lepas saya akan terlantar di katil hospital, dikelilingi doktor dan jururawat serta pelbagai jenis mesin yang pelik-pelik sebab serangan jantung, mungkin saya cuma ketawa."Mesti saya akan kata... 'Saya? Serangan jantung? Tak mungkin.'"Sebab apa yang saya sangka cuma sakit gastrik teruk, rupanya bertukar jadi detik paling menakutkan yang tak pernah saya bayangkan akan berlaku pada usia ini," katanya.Katanya, sebelum kejadian itu, dia menganggap masih mempunyai banyak masa untuk bekerja, menjaga keluarga dan anak, melancong serta melakukan perkara yang selama ini ditangguhkan.Namun, pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa kesihatan dan kehidupan tidak seharusnya diambil mudah.“Jangan anggap sakit perut itu sekadar gastrik. Jangan anggap kerana masih muda, kita selamat dan jangan anggap hari esok itu sesuatu yang pasti."Selama bertahun-tahun saya sibuk menjaga orang lain termasuk keluarga, anak, kerja dan tanggungjawab. Mungkin ini cara kehidupan mengingatkan... saya juga perlu menjaga diri sendiri," ujarnya.Dalam pada itu, Liyana menzahirkan rasa syukur kerana sempat mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.Dia turut berterima kasih kepada barisan doktor, jururawat dan insan terdekat yang sentiasa berada di sisinya sepanjang melalui detik sukar tersebut.