PENGGUNAAN ubat GLP-1 untuk merawat penyakit diabetes dan membantu penurunan berat badan menjadi perhatian selepas pengawal selia ubat Australia menerima 62 laporan kematian disyaki ada kaitan dengan kumpulan ubat berkenaan.Ubat GLP-1 seperti Ozempic, Wegovy dan Mounjaro yang digunakan bagi rawatan diabetes jenis 2 dan pengurusan berat badan atau kedua-duanya turut dikaitkan dengan hampir 3,000 laporan dengan kesan sampingan serius. Antaranya termasuk loya, radang pankreas serta kekacauan mental termasuk rasa mahu menamatkan riwayat sendiri serta masalah mata yang jarang berlaku.Daripada jumlah itu, 37 laporan melibatkan semaglutide iaitu bahan aktif dalam Ozempic digunakan untuk merawat diabetes jenis 2.Sementara itu, tirzepatide dalam Mounjaro mencatatkan sembilan laporan, liraglutide dalam Saxenda sebanyak 11 dan dulaglutide dalam Trulicity sebanyak lima kes.Bagaimanapun, Therapeutic Goods Administration (TGA) menegaskan laporan tersebut tidak membuktikan bahan aktif dalam ubat berkenaan menjadi punca kematian seperti dilaporkan.TGA berkata manfaat dan risiko ubat GLP-1 masih dianggap positif apabila digunakan mengikut dos diluluskan dan kepada pesakit yang sesuai.Risiko masalah mata jarang berlakuTGA turut mengemas kini amaran bagi ubat GLP-1 berhubung non-arteritic anterior ischaemic optic neuropathy (NAION), iaitu keadaan mata jarang berlaku tetapi serius dan boleh menyebabkan masalah penglihatan kekal termasuk buta.Pesakit dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor mengenai manfaat, risiko dan kesan sampingan ubat sebelum mengambilnya.Laporan berkaitan ubat GLP-1 turut direkodkan di beberapa negara lain namun angka tersebut merujuk kepada laporan disyaki mempunyai kaitan dan bukan bukti ubat berkenaan secara langsung menyebabkan kematian. -Agensi