suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Empat bekas pegawai kanan Tabung Haji antara tujuh individu ditahan SPRM

Mereka ditahan berhubung siasatan RCI mengenai dana Tabung Haji.

TUJUH individu, termasuk empat bekas anggota pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH), ditahan berhubung siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dana haji itu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat, pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pegawai pengurusan kanan TH.

Suspek pertama, seorang CEO syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an yang bergelar Datuk, ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu ketika membuat pembayaran kepada TH.

Dia juga disyaki memalsukan dokumen kontrak membabitkan sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.

Suspek kedua dan ketiga, masing-masing berusia lingkungan 60-an serta bergelar Datuk dan Datuk Seri, ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan syarikat itu berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia.

Empat bekas pegawai pengurusan kanan TH, berusia antara 50-an hingga 60-an termasuk seorang Datuk Seri dan seorang wanita, ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah yang menyebabkan TH memeterai perjanjian pajakan empat hotel di Arab Saudi dengan sebuah syarikat bernilai SR2.49 bilion (RM2.72 bilion).

Perjanjian itu didakwa menyebabkan TH mengalami kerugian.

Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan seorang pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman.

Lima suspek lain dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas faktor masalah kesihatan.

Majistret Ahmad Afiq Hasan mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.

Sumber berkata, kesemua tujuh suspek ditahan secara berasingan antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam pada Jumaat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Perintah reman itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi meneliti dapatan RCI berhubung TH, yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Dia berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - The Star.

Artikel Lain