Mohamad Hasan meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar untuk membawa pelarian pulang secara berperingkat.
MALAYSIA akan mengutamakan keselamatan pelarian Myanmar sebelum menghantar mereka pulang ke negara asal bagi memastikan kebajikan dan nyawa mereka dilindungi.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama antara Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting bagi mengesahkan status pelarian berkenaan serta menilai keadaan keselamatan yang bakal mereka hadapi sekiranya dihantar pulang. "Saya meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka pulang secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan, pada Jumaat.Mengulas laporan media yang menyatakan kerajaan Myanmar bersedia menerima pulang 5,000 rakyatnya di Malaysia melalui kapal, beliau berkata Malaysia akan melaksanakannya secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang statusnya telah disahkan."Tidak perlu tunggu hingga 5,000 orang… kalau sudah dikenal pasti 1,000 orang boleh dihantar balik," katanya.Mohamad berkata ASEAN turut memandang serius isu pelarian Myanmar dan perkara itu perlu ditangani secara bersama oleh negara anggota.Tambahnya, Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu kekal sebagai teras mekanisme ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar. -The Star