Muhammad Syahmi dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
PADAH tidak menjaga tingkah laku, seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama sebulan selain didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat atas kesalahan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita warga emas.Majistret Nurul Saqinah Rosli memerintahkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30, dan turut menetapkan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau pada 31 Julai lalu.Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat mengaibkan mangsa, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Peguam Zaiful Bahrin Kamde dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan menanggung dua anak berusia setahun dan empat tahun dengan pendapatan RM1,800 sebagai pekerja di syarikat cuci kenderaan.Tambahnya, pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah, malah lelaki itu turut mengaku menyesal dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris memohon hukuman penjara dan denda maksimum dengan mengambil kira faktor kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh serta kesan perbuatan itu terhadap mangsa.Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bermula tarikh tangkapan selain tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.Dalam pada itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas perbuatan sama terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di tepi jalan Kampung Baru Mambau 1, pada 3 Ogos 2026.Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM9,000 dan mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesaiSebutan semula kes 18 September depan.