suria

Kerjasama Strategi Lautan Biru Pelbagai Agensi Kawal Sempadan

PUTRAJAYA: Kerjasama strategi lautan biru akan dilakukan bagi membolehkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Kastam dan pihak penguatkuasaan lain dilibatkan dalam mengawal sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walau bagaimanapun pembinaan tembok sempadan atau pagar sempadan wajib dilakukan kerana tanpa sempadan yang kukuh sukar bagi mana-mana agensi pelaksanaan untuk melaksanakan penguatkuasaan.

"Perdana Menteri meminta perincian (kerjasama pelbagai agensi) disediakan dalam waktu terdekat untuk pelaksanaannya. Kerjasama ini akan melibatkan kombinasi antara pelbagai jabatan.

"Barisan hadapan pertahanan negara adalah ATM namun dari segi penguatkuasaan dan pengambilan tindakan perundangan adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kuasa di bawah Jabatan Imigresen," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KDN di sini, Khamis.

Mengenai pembinaan tembok sempadan, Ahmad Zahid berkata KDN terima lima cadangan untuk pembinaan tembok dan aset-aset bagi pemantauan keselamatan di sempadan negara.

Cadangan berkenaan akan serahkan pada agensi yang terlibat dalam memberikan kelulusan untuk pembinaan tembok sempadan itu dan memutuskan sistem yang terbaik bagi pelaksanaannya, tambahnya.

Sebelum ini laporan media menyebut kerajaan sedang mengkaji pembinaan pagar baharu sepanjang 129 kilometer yang dibina di sempadan Malaysia-Thailand melibatkan tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan.

Jelas beliau, negara yang mempunyai tembok dan pagar sempadan yang kukuh  turut dibolosi imigran sebagai contoh sempadan di antara Amerika Syarikat (Amerika) dan Mexico yang mempunyai pagar canggih dan kukuh tetapi di Amerika terdapat 11 juta pendatang asing tanpa izin.

"Apatah lagi jika kita tidak ada pagar atau tembok sempadan yang kukuh tentu kebolosan ini mudah berlaku. Bukan sahaja kebolosan dari segi pemerdagangan manusia, ada kebolosan kemasukan senjata api, dadah dan keluarnya barang-barang yang bersubsidi," kata Ahmad Zahid lagi.

Beliau tidak menolak penyeludupan berlaku di sempadan negara kerana unsur rasuah dan lapan petugas peringkat bawahan yang dikesan terlibat sudah dikenakan tindakan dan menghadapi siasatan dalaman.

Mereka (yang dikesan terlibat rasuah) tidak akan terlepas, katanya lagi.

Mengenai laporan media baru-baru ini yang mendakwa 80 peratus pegawai penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara terlibat rasuah, Ahmad Zahid menjelaskan laporan berkenaan sedang disiasat bagi mencari individu yang mengesahkan perkara tersebut.

"PDRM sendiri tidak dapat sahkan peratusan berkenaan," katanya lagi.

Pada 25 Mei, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemukan dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia ditemukan pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla sebelum itu.

Sementara itu, dalam ucapan perhimpunan bulanan KDN, Ahmad Zahid mengingatkan warga KDN supaya menjaga nama baik agensi dan KDN selain melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas.

NBOS, Sempadan

Artikel Lain