suria

Pendatang Rohingya Tak Mahu Balik Kampung, Cukup Hanya Sara Hidup Di Sini

Mohamed Alam (kanan) dan Sonso menceritakan pengalaman sukar mereka sebagai warga Rohingya.

KANGAR: Seorang warga etnik Myanmar Rohingya, Mohamed Alam, 18, berkata, 'balik kampung' bukan lagi perkara penting dalam kamus hidupnya.

"Saya lebih sanggup ditahan polis dan dipenjarakan di sini daripada dibunuh di tanah air saya," katanya.

Dia bersumpah untuk tidak balik ke kampung halamannya di Myanmar.

"Di sana, kad pengenalan kami dirampas. Kami akan sentiasa diganggu.

"Kami terpaksa duduk di rumah setiap hari. Kami tidak boleh keluar seperti rakyat yang lain," katanya ketika ditemui di tapak pembinaan.

Mohamed Alam yang berasal dari daerah Maungdaw di negeri Rakhine berada di sini sejak lapan bulan lalu.

Walaupun terpaksa bekerja dari pukul 8.30 pagi sehingga 7 petang dengan pendapatan RM30 sehari, ia sudah cukup puas baginya.

"Jika kami bekerja lebih masa, majikan akan bayar kami lebih," katanya.

Katanya, warga Rohingya yang bekerja di tapak pembinaan akan mengumpulkan wang sesama mereka untuk membeli makanan dan memasak untuk semua.

Hidangan biasanya adalah nasi dengan hanya ditambah bersama sos atau kari.

"Kediaman" sementaranya tidak terurus dengan keadaan dapur tidak dibersihkan manakala papan lapis nipis pula dijadikan sebagai tempat tidur.

Menyedari tidak mempunyai permit kerja akan menyebabkan dia ditahan, katanya, kebimbangan itu tidak sebanyak jika dibandingkan dengan kehidupan di Myanmar.

Dengan janji untuk diberikan kerja lebih baik di Malaysia, Mohamed Alam berkata, dia diminta untuk membayar RM3,000 bagi membolehkannya menaiki bot ke negara ini.

"Sebaliknya saya dihantar ke Thailand dan dikurung di sebuah rumah. Akhirnya, saya membayar RM8,000 untuk dibebaskan dibawa masuk ke Malaysia," katanya.

Rakan sekampungnya, Sonso Alam, 16, turut bersamanya di sini.

Kedua-duanya mendapati mereka dari kampung yang sama selepas bertemu di tapak pembinaan.

Sonso berkata, dia tiba di perairan Thailand selepas perjalanan selama 25 hari yang sukar dari Myanmar. Dia dibawa ke sebuah rumah transit di mana dia ditahan selama dua bulan kerana tiada wang RM8,000 untuk membayar kepada ejen.

"Mereka kurung kami sehingga keluarga saya terpaksa usahakan untuk mendapatkan wang itu. Ibu bapa saya terpaksa menjual tanah dengan harga 1 juta kyat (RM3,347) dan mereka kemudiannya menetap bersama abang saya.

"Mereka meminjam wang dari rakan-rakan dan jiran-jiran tetapi jumlah yang dikumpul hanya kira-kira RM6,000. Ejen kemudiannya bersetuju menerima jumlah itu dan melepaskan saya pergi," katanya, sambil menambah dia pernah dipukul dengan batang kayu kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Dia juga diarahkan supaya memasak untuk orang lain di dalam rumah transit itu.

Selepas pembayaran dibuat, Sonso keluar bersama beberapa warga Rohingya yang lain melalui kawasan bukit selama enam hari di bawah pengawasan ketat oleh seorang "ejen" yang membawa mereka ke Malaysia.

Kemudiannya terdapat sebuah kereta yang sedang menunggu mereka di kaki bukit. Sejak itu, Sonso dilepaskan dan sudah bekerja di tapak pembinaan selama setahun dan lima bulan.

Rohingya

Artikel Lain