suria

Singapura, Malaysia Bincang Kerjasama Tangani Ancaman ISIS

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia membincangkan keperluan untuk bekerjasama dan meningkatkan usaha bagi menangani ancaman Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Kementerian Pertahanan Singapura, dalam kenyataan pada Sabtu, berkata perbincangan berlangsung semasa msyuarat antara Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di luar Sidang Kemuncak Asia ke-14 Dialog Shangri-La, di sini Sabtu.

Kedua-dua menteri mengulangi hubungan erat dan lama terjalin antara Singapura dan Malaysia, dan komitmen kukuh mereka dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Dr Ng juga mengadakan mesyuarat dengan menteri dan pegawai kanan dari Sepanyol, Thailand, Timor Leste, United Kingdom dan Amerika Syarikat, dan menganjurkan majlis sarapan pagi bagi menteri dari negara-negara FPDA.

Sebelum itu, dalam ucapannya pada sesi pleno sidang kemuncak, Hishammuddin berkata, setakat ini tumpuan masyarakat global ialah untuk menumpaskan apa yang dipanggil Kumpulan Negara Islam (IS) di pangkalannya di Iraq dan Syria.

Beliau berkata, boleh dipertikaikan bahawa sesetengah daripada impak paling dahsyat berlaku di tempat-tempat lain seperti Afrika, apabila kumpulan atau individu yang terpengaruhi dengan ideologi ekstremis dan fahaman keganasan IS mencetuskan kacau-bilau di tempat-tempat seperti Kenya, Nigeria dan Somalia. 

"Sesungguhnya, dan yang lebih membimbangkan ialah ancaman keganasan ala IS adalah amat nyata dan aktif di Asia Tenggara.

Pada Februari lepas, Hishammuddin berkata kajian oleh Institut Teknologi Nanyang Singapura menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 300 laman sesawang di rantau ini yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas. 

"Lebih membimbangkan ialah penyebaran visual secara meluas oleh kumpulan-kumpulan ini yang memaparkan pengeboman dan pemenggalan kepala mangsa dalam pelbagai bahasa. 

"Apa yang mengejutkan ialah hakikat bahawa penerimaan terhadap tindakan-tindakan yang menggerikan ini adalah begitu menggalakkan.

Hishammuddin berkata, adalah dilaporkan bahawa mereka yang menyokong kumpulan ini telah bertapak di kebanyakan negara di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Asean.

Beliau berkata, mengekang peningkatan konflik IS memerlukan bukan sahaja membendung dan memusnahkan infrastrukturnya di Timur Tengah tetapi juga menyekat penyebaran ideologi dan aktivitinya di kawasan lain di dunia. 

"Contohnya, kita harus berhati-hati untuk memastikan golongan muda dan terdedah tidak menjadi mangsa kepada ekstremisme.

"Memenangi hati dan minda kumpulan seperti ini memerlukan kita bukan sahaja untuk menangani apa-apa jurang politik atau sosio-ekonomi yang mungkin dihadapi, tetapi juga melakukan sesuatu untuk memertabatkan maruah.

Menteri itu berkata, pelbagai kemusnahan yang tercetus dari Arab Spring adalah disebabkan kegagalan beberapa rejim di rantau ini untuk melindungi maruah dan harga diri rakyat mereka.

"Bagaimana kita menilai, kestabilan sesebuah negara harus mengambil kira faktor amat penting ini. Selain itu, kita tidak boleh menganggap penyelesaian terhadap konflik sebagai mampan dan boleh bertahan dan melainkan penyelesaian itu mengambil kira dan melindungi maruah semua pihak terlibat," kata beliau.

ISIS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain