suria

Tabung Perpaduan OIC Hantar Bantuan Segera Kepada Pelarian Rohingya

SINGAPURA: Tabung Perpaduan Islam (ISF), sebuah organisasi di bawah Pertubuhan Kerjasam Islam (OIC) mengumumkan bantuan kemanusiaan segera kepada pelarian Rohingya yang terkandas di lautan.

Dalam satu kenyataan, OIC berkata semasa mesyuarat Kumpulan Hubungan OIC mengenai Rohingya, diadakan di luar sesi ke-42 Majlis Menteri-Menteri Luar OIV di Kuwait pada Rabu dan Khamis, geran permulaan US$200,000 (RM732,999) telah diluluskan.

OIC berkata bantuan akan disalurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang menjalankan misi bantuan kemanusian di negara-negara yang menempatkan pelarian Rohingya, di bawah penyeliaan ISF.

Pada Persidangan Menteri-Menteri OIC di Kuwait, Duta Khas OIC ke Myanmar,Tan Sri Syed Hamid Albar membangkitkan isu Rohingya semasa menyampaikan ucapan.

Beliau menggesa supaya operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan bagi menyelamatkan pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh yang terkandas di laut yang menghadapi kematian dan penderaan.

Syed Hamid mengulangi gesaan OIC kepada kerajaan dan rakyat di rantau ini untuk menghulurkan bantuan segera dan perlindungan kepada pelarian tersebut.

Beliau selanjutnya mengulangi gesaan Setiausaha Agung OIC bagi menangani punca sebenar krisis melalui usaha mengurangkan kemiskinan dan pembangunan inklusif di wilayah Rakhine, Myanmar dan di Bangladesh sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang komprehensif.

Sementara itu, OIC menyertai persidangan di Oslo, Norway mengenai 'Mengakhiri Penindasan Sistematik kaum Rohingya di Myanmar, Selasa lepas.

Dina Madani menyampaikan kenyataan bagi pihak Duta Khas OIC ke Myanmar pada Sesi Pembukaan Peringkat Tinggi bersama bekas Perdana Menteri Norway, Khell Bondevik, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas PBB Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Myanmar, Tomas Quintana.

Persidangan Oslo menangani situasi di tempat kejadian di kem-kem IDP dan perkampungan Rohingya di wilayah Rakhine serta krisis kemanusiaan pelarian Rohingya di Laut Andaman dan Selat Melaka.

Kenyataan Duta Khas OIC menekankan hujah bahawa Rohingya bukan penduduk pribumi tetapi pendatang dari Bangladesh adalah tidak boleh diterima.

Kaum Rohingya ialah masyarakat pribumi Myanmar yang menetap di negara itu sejak beberapa generasi dan dikecualikan daripada senarai minoriti etnik dalam Akta Kewarganegaraan 1982.

OIC telah beberapa kali menggesa kerajaan Myanmar supaya mengamalkan dasar telus terhadap minoriti etnik dan agama, termasuk masyarakat Rohingya Islam, sebagai sebahagian daripada proses ini dan menganggap mereka sebagai minoritietnik menurut resolusi Perhimpunan Agung PBB 238/64.

Ketika OIC menjalankan pelbagai usaha untuk mengurangkan penderitaan pelarian dalam situasi sekarang, ia pada masa yang sama menggesa kerajaan Myanmar supaya mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan perjanjian hak asasi manusia.

Selain itu, kerajaan Myanmar juga digesa mengambil segala langkah yang perluuntuk menghentikan keganasan dan diskriminasi terhadap masyarakat Rohingya Islam dan melindungi nyawa, maruah dan harta mereka.

OIC, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain