suria

Najib Terdedah Kepada Tindakan Hina Parlimen - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR: Ia mungkin bukan satu penipuan, tetapi jawapan Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan beliau dengan tindakan menghina Parlimen, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu mengulas mengenai percanggahan dalam jawapan bertulis Perdana Menteri di Parlimen mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan berkata Najib boleh dikenakan tindakan kerana mengelirukan Dewan Rakyat.

"Terserah kepada pihak-pihak berkenaan dalam Dewan untuk membuat usul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.

Percanggahan itu berlaku dalam jawapan bertulis daripada Najib pada Mac yang juga Menteri Kewangan, mengenai dana RM4 bilion 1MDB dalam bentuk wang tunai dikembalikan dari Kepulauan Cayman dan diletakkan di dalam BSI Bank, Bank Swiss yang berpangkalan di Singapura.

Tetapi dalam jawapan bertulis berikutnya pada Mei, dana tersebut dikatakan berada dalam bentuk aset, yang mana Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kemudian menjelaskan ia adalah dalam bentuk unit.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, jawapan Najib itu mestilah ditentukan terlebih dahulu sama ada ia adalah fakta atau tidak.

"Jika Perdana Menteri memilih untuk membetulkan maklumat yang salah diberikan, maka ini tidak boleh dianggap sebagai satu pembohongan," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata Najib tidak harus melanggar sebarang keistimewaan yang diberikan kepadanya atas kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen.

Mengenai video Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemecatan lembaga 1MDB yang bocor baru-baru ini, Tengku Razaleigh berkata ia bukanlah satu perkara baharu.

Beliau berkata gesaan untuk memecat ahli lembaga pengarah sebuah syarikat awam oleh pemegang saham adalah perkara biasa jika syarikat itu mengalami kerugian besar disebabkan perbuatan mereka.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa tanggungjawab ke atas isu 1MDB tidak harus diletakkan di bahu Najib seorang tetapi pada keseluruhan Kabinet.

Beliau berkata anggota Kabinet tidak boleh mendakwa bahawa mereka tidak tahu apa-apa mengenai 1MDB apabila isu ini telah menjadi pengetahuan umum.

Tengku Razaleigh Hamzah, 1MDB

Artikel Lain