suria

Tiada Pihak Boleh Nafi Kejayaan Kerajaan Sedia Prasarana Pendidikan Terbaik

Tan Sri Muhyiddin Yassin
AYER HITAM: Tiada pihak yang boleh menafikan kejayaan kerajaan menyediakan infrastruktur pendidikan terbaik bagi membantu penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan kerajaan menyediakan prasarana pendidikan terbaik kepada rakyat turut diperakui masyarakat dunia.

"Tidak ada yang boleh menyatakan bahawa usaha ini (menyediakan prasarana pendidikan terbaik kepada rakyat Malaysia) adalah gagal.

Ini adalah suatu usaha yang telah berjaya," katanya ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di sini.

Menurutnya, masyarakat dunia termasuk badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) memperakui komitmen kerajaan dalam menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun untuk pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, setiap tahun di antara 20 hingga 21 peratus daripada peruntukan belanjawan negara diasingkan untuk keperluan pendidikan rakyat dan ia ditambah pula dengan peruntukan yang sama besar di dalam Rancangan Malaysia.

Muhyiddin berkata usaha dan komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana pendidikan rakyat akan diteruskan menerusi Rancangan Malaysia ke-11(RMK-11), sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kita diakui sebagai di antara negara membangun yang menyalurkan peruntukan pendidikan tertinggi, selain peruntukan perkapita pelajar di antara tertinggi juga di kalangan negara membangun," katanya.

Beliau berkata, selain itu kira-kira 600,000 daripada 1.6 juta kakitangan awam di negara ini juga terdiri daripada kakitangan sektor pendidikan.

Penyediaan infrastruktur pendidikan terbaik kepada rakyat akan memastikan usaha bagi meningkatkan darjat dan martabat rakyat menerusi penguasaaan ilmu tercapai, kata Muhyiddin.

"Kita mahu segala jenis ilmu di dunia ini dikuasai oleh anak-anak kita," katanya dan menambah, kerajaan mahukan 60 peratus daripada pelajar sekolah negara ini menceburi aliran sains.

Pada ketika ini, bilangan pelajar yang menceburi aliran sains hanya berada pada tahap 20 peratus dan kementerian perlu mencari jalan untuk memastikan sasaran 60 peratus itu tercapai, katanya.

Muhyiddin berkata, usaha itu adalah penting bagi menjamin kemajuan negara menerusi penguasaan ilmu sains dan teknologi dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Beliau juga berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan telah membina 746 buah sekolah rendah dan menengah serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kedah.

Ia termasuk 24 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah serta dua buah SABK di kawasan Parlimen Jerlun.

SMK Jerlun yang dibina di atas kawasan tanah seluas 16 hektar, mula diduduki oleh pelajar-pelajar pada 1 Jan lepas dan dibina dengan peruntukan RM23.8 juta, katanya.

Turut hadir pada majlis itu termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Artikel Lain