suria

Pelarian: Guan Eng Kesal Zahid Bidas Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membidas kerajaan negeri berhubung isu pelarian Rohingya.

Setiausaha Agung DAP itu menegaskan bahawa kerajaan negeri mengakui tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menjalankan tugas bagi mewujudkan penempatan sementara buat pelarian berkenaan.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri tidak mempunyai sumber dan kuasa terhadap polis dan imigresen tetapi masih bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

"Kita tidak ada kuasa terhadap  semua sumber ini tetapi sedia bekerjasama atas kepentingan nasional tetapi beliau (Zahid) telah mempertikaikan hasrat jujur kita dengan mengatakan kita mesti bertindak dengan membekalkan semua sumber," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Pada Ahad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Pulau Pinang diminta menunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan hak-hak kemanusiaan dengan membenarkan penempatan sementara kepada pelarian Rohingya di negeri itu.

Bagaimanapun Guan Eng mendakwa, kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai maklumat tentang perkembangan pelarian yang mahu ditempatkan di negeri itu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik untuk dijadikan penempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya yang masih terdampar di perairan antarabangsa bagi memudahkan semua agensi menguruskan penempatan mangsa pelarian.

Namun, Guan Eng pada Ahad dilaporkan berkata, pendatang terbabit perlu ditempatkan di tanah milik kerajaan Persekutuan kerana negeri itu menghadapi masalah menyediakan kawasan yang sesuai untuk menempatkan mereka.



Artikel Lain