suria

Hab Pendidikan Tinggi Pagoh Beroperasi Pertengahan 2016

MUAR: Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) dijangka beroperasi seawal pertengahan tahun hadapan, setahun lebih awal daripada jadual susulan sebahagian fasa pertama projek itu telah siap 70 peratus, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menyuarakan rasa gembira dengan perkembangan itu, Timbalan Perdana Menteri  berkata kemajuan fasa pertama HPTP itu yang amat menggalakkan dan lebih awal daripada jadual kerja, adalah petanda baik buat masyarakat amnya.

"Kita jangka pihak universiti boleh mula menggunakan sebahagiannya mulai tahun hadapan, tidak seperti yang kita rancang sebelum ini iaitu tahun 2017," katanya kepada pemberita selepas taklimat tertutup pelan pembangunan Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh di sini, Rabu.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Penddiikan berkatanya pembangunan Bandar Baru Universiti Pagoh akan turut dilengkapi kemudahan infrastruktur dan sosial seperti jalan, kediaman dan pengangkutan awam, sekaligus menyokong pembangunan sekitar hab pendidikan tersebut.

"Satu perkara yang menggalakkan ialah tren berkelajuan tinggi yang kita tahu akan dibina dalam tempoh tidak lama lagi ini.

"Selepas saya bincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, pada dasarnya bersetuju bahawa alignmentnya (jajaran) dalam kawasan hab pendidikan Pagoh, jadi ini akan memberikan satu pemangkin kepada pertumbuhan lebih pesat untuk Bandar Baru Universiti Pagoh," katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk menarik minat universiti-universiti luar negara untuk membuka kampus di hab pendidikan itu masih diteruskan dengan perbincangan sedang diadakan.

Beliau berkata persetujuan Imperial College London, universiti di ranking kedua dunia, untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di hab pendidikan itu juga merupakan perkembangan positif dalam membangunkan hab pendidikan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata perkembangan terbaru hab pendidikan itu dilihat baik sebagai pemangkin kepada peningkatan aktiviti ekonomi di negeri ini, sekaligus memberi keuntungan kepada rakyat dalam aspek pembangunan modal insan bahkan akan mewujudkan lebih 25,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

"Saya harap pembinaan kampus universiti dan politeknik awam di Pagoh akan menjadi pemangkin kepada peningkatan aktiviti ekonomi di sekitarnya bahkan melimpah ke kawasan lain di utara negeri Johor khasnya dan juga Melaka serta Malaysia amnya," kata beliau ketika berucap di kawasan pembangunan HPTP di Pagoh.

Beliau berkata dengan kebarangkalian tinggi untuk HPTP menjadi satu daripada perhentian keretapi berkelajuan tinggi dari Kuala Lumpur ke Singapura yang sedang dirancang oleh kerajaan, ia juga akan menjadi satu lagi nilai tambah kepada HPTP.

"Saya percaya bahawa sekiranya projek ini dapat disiapkan lebih awal, ia adalah suatu penanda aras kepada projek pembangunan fizikal yang lain," kata Muhyiddin.

Fasa pertama melibatkan pembangunan komponen pembelajaran dan pengajaran termasuk peralatan bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UTM dan Politeknik Pagoh, dijangka siap menjelang 30 Jun 2016, lebih awal daripada jadual iaitu 2 Mei 2017.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Tunas Selatan Construction Sdn Bhd dengan UTM, UTHM, UIAM dan Politeknik Pagoh bagi membangunkan kolej kediaman dengan kos kira-kira RM300 juta bagi 7,008 pelajar.

Pagoh

Artikel Sebelum

Artikel Lain