suria

Dewan Rakyat Akan Bincang Usul Isu Penculikan Di Sabah

KUALA LUMPUR: Isu penculikan bersenjata di Sabah akan dibincangkan di Dewan Rakyat pada persidangan sebelah petang Rabu apabila usul mengenainya diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut Ronald, usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 3(b), yang perbahasannya bermula pukul 4.30 petang dan akan ditangguhkan pada 5.30 petang.

"Perbahasan akan dibenarkan selama 30 minit dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya.

Usul mengenai penculikan di Sabah dikemukakan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang antara lain bertujuan mencari penyelesaian dan pendekatan berkesan serta komprehensif dalam menangani isu itu demi keselamatan rakyat Sabah.

"Episod penculikan di Sabah disangka reda selepas pembebasan Lans Koperal Zakiah Aleip yang diculik kumpulan bersenjata di Mabul, Semporna tahun lepas.

"Bagaimanpun, episod itu berulang dengan kes terbaharu penculikan di Restoran Ocean King, di Sandakan, yang berlaku hanya kira-kira 3 kilometer dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOMM), dan ini membuatkan rakyat Sabah berasa terdedah kepada bahaya," katanya ketika membentangkan usul itu pagi Rabu.

Beliau juga menyifatkan episod penculikan di negeri itu telah menghantui masyarakat di negeri berkenaan, justeru usul itu wajar dibincangkan demi kepentingan rakyat Sabah.

Dalam kejadian 7.45 malam, pada Khamis lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dan kedua-dua mangsa dilaporkan kini berada di salah sebuah pulau di perairan Filipina.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa ialah Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Sabah, Dewan Rakyat

Artikel Lain