suria

Khalid 'Barua Umno': Polis Rekod Keterangan Azmin Ali

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan merekodkan keterangan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan beberapa lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes menggelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan perkataan tidak elok dalam ceramahnya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya akan mengambil keterangan mereka dalam tempoh tempoh terdekat ini.

"Setakat ini masih lagi kekal 15 orang telah direkodkan keterangan bagi kes Menteri Besar Selangor itu dan kami akan mengambil keterangan beberapa lagi individu termasuk Mohamed Azmin untuk lengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Saya percaya kami dapat melengkapkan kertas siasatan berkenaan dalam tempoh terdekat ini untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Kontinjen Pulau Pinang, di sini, Rabu.

Mohamed Azmin didakwa menggelar Khalid sebagai "barua UMNO" dalam ceramah semasa berkempen pada PRK Permatang Pauh, baru-baru ini.

Terdahulu pada majlis itu, Abdul Rahim turut menyampaikan Anugerah Ibu Mithali peringkat Kontinjen Pulau Pinang kepada Sarjan Surati Attan dari Balai Polis Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah yang merupakan ibu tunggal kepada enam orang anak.

Abdul Rahim berkata pihaknya mengucapkan tahniah dan syabas kepada wanita berkenaan di atas pengorbanan beliau dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya sehingga berjaya ke menara gading walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai anggota polis.

"Dua daripada enam anaknya telah tamat (sekolah) dan sedang menuntut di Universiti Awam manakala empat yang lain turut cemerlang di sekolah, jadi pihak Kontinjen Pulau Pinang bebesar hati untuk menganugerahkan beliau sebagai Ibu Mithali pada tahun ini dan terus menjadi contoh kepada ibu-ibu lain," katanya.

Polis, Permatang Pauh, Menteri Besar

Artikel Berikut

Artikel Lain