suria

Enggan Ulas Soal Najib, Kepulangan Tun M Disambut Meriah

SUBANG JAYA: 'Itu nantilah.' Demikian komen ringkas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada pukul 3.45 petang Jumaat selepas menunaikan ibadah umrah.

Dr Mahathir turut menyatakan syukur kerana dapat menunaikan ibadah umrahnya dengan sempurna.

"Alhamdulillah, saya dapat menunaikan umrah dengan sempurna," katanya ketika disambut lebih 50 penyokongnya yang setia menunggu di sini sejak pukul 2 petang.

Walaupun dalam keadaan panas, penyokong beliau tetap setia menunggu di luar perkarangan lapang terbang tersebut bagi memastikan mereka dapat bersalaman dengan negarawan itu.

Sejurus tiba, Dr Mahathir yang pada mulanya dibawa menaiki kereta turun  bersalaman dengan penyokongnya selama 15 minit sebelum meninggalkan perkarangan lapangan terbang.

Walaupun kepulangan itu disambut meriah oleh sebilangan kecil penyokongnya, tetapi kebanyakan yang hadir turut berebut untuk bersalaman sehingga memaksa beliau dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.

Turut hadir Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Datuk Zaid Ibrahim; Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah; Umi Hafilda dan Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya.

Dr Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali baharu sahaja kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah umrah bersama keluarga.

Kehadiran Dr Mahathir amat ditunggu-tunggu pengamal media yang ingin mendapatkan reaksinya terhadap Najib dalam mengurus tadbir negara khususnya masalah yang dihadapi syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Syed Hassan menafikan kehadiran Perkasa dalam menyambut kepulangan Dr Mahathir mempunyai agenda tersirat.

"Kita datang hanya untuk sambut beliau... itu sahaja tiada agenda lain. Perkasa mahu semuanya baik untuk negara kerana ia membabitkan kepentingan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Zaid memberitahu, kehadirannya semata-mata untuk menyambut kepulangan Dr Mahathir.

"Beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang. Jutaan rakyat Malaysia berada di belakangnya," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai Najib yang enggan tunduk dengan desakan untuk meletak jawatan, jelasnya, orang ramai termasuk ahli Umno lebih mengetahui perkara sebenar.

"Lambat laun perkara sebenar akan terserlah. Orang Umno yang pilih dia (Najib). Saya fikir orang Umno pun tau tapi budaya takut tu tebal. Kalau berani kena pecat macam saya," kata beliau.



Subang Skypark, Umrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain