suria

Marina Mahathir Gesa Bantuan Kecemasan Kepada Pati Terkandas

PETALING JAYA: Aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir berharap bantuan jangka pendek seperti menghantar bot berisi makanan, air dan keperluan lain perlu diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar etnik Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di perairan Langkawi.

Marina menerusi laman Facebook menggesa mereka yang mempunyai bot tampil ke hadapan bagi menghulur bantuan.

"Bolehkah kita mendapatkan makanan, air dan barangan keperluan lain termasuk kakitangan perubatan dan menghantar mereka keluar membantu orang-orang ini untuk masa ini?" Katanya.

Beliau menambah, sesiapa yang perihatin dan ingin membantu perlu tampil memberikan sumbangan.

Marina berkata ia merupakan langkah penyelesaian sementara yang boleh dilakukan.

"Langkah penyelesaian tetap perlu ditangani di peringkat kerajaan dengan kerajaan mereka.

"Sebagai pengerusi Asean, Malaysia perlu menjadi peneraju bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Terdahulu, seramai 1158 Rohingya dan Bangladesh ditinggalkan oleh sindiket penyeludupan manusia di perairan Langkawi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak berkuasa tempatan telah mengarah pulang bot yang digunakan untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada kumpulan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain