suria

Penyeludup Bertopi Keledar Merah Terlepas Lagi

Mohd Aliyas Hamdan (tengah) menunjukan sebahagian jenis rokok yang berjaya dirampas dalam cubaan menyeludup masuk rokok tidak sah dalam Ops Satria Selatan, APMM Daerah Maritim Klang pada sidang akhbar di Pejabat Daerah Maritim Klang pada Khamis. - fotoBERNAMA

PELABUHAN KLANG: Seorang penyeludup rokok yang bertopi keledar merah yang sangat dikehendaki berjaya meloloskan diri daripada diberkas pihak berkuasa.

Namun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang dapat merampas hampir 15,000 paket rokok tidak sah pelbagai jenama bernilai RM100,000 daripada bot pancung suspek yang ditinggalkannya.

Rokok-rokok itu dipercayai cuba diseludup masuk ke Banting.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Klang, Laksamana 1 Mohd Aliyas Hamdan berkata pihaknya pada mulanya mengesan sebuah bot yang mencurigakan pada pukul 9 malam dua hari lepas, di perairan Batu Laut berhampiran Tanjung Rhu dekat sini.

"Kita kemudiannya mendapati seorang lelaki bertopi keledar merah yang mengendalikan bot pancung tidak bernombor itu merupakan suspek yang amat dikehendaki APMM atas aktiviti penyeludupan rokok. Dia jug pernah beberapa kali cuba melanggar bot ronda Maritim.

"Kali ini suspek cuba menyamar sebagai bot nelayan dengan mengurangkan kelajuan botnya bagi mengelak daripada dikesan. Namun kita terus melakukan intipan terhadap kegiatannya sehingga pukul 4.20 pagi semalam.

"Akhirnya kita menjumpai bot berkenaan terkandas di beting pasir akibat air cetek. Namun suspek telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota APMM," kata Mohd Aliyas kepada pemberita.

Menguas lanjut, beliau berkata pihaknya pernah beberapa kali bertembung dengan bot itu namun kelajuan bot yang berenjin 800 kuasa kuda tersebut memudahkan suspek melarikan diri.

Beliau berkata pada bot itu ditemui 37 kotak mengandungi 1,500 karton rokok tidak sah, peralatan menghisap syabu serta dua topi keledar termasuk yang berwarna merah yang ditinggalkan suspek.

Bot itu kini ditahan.

APMM, Rokok Seludup

Artikel Lain