suria

Najib Mahu Ketua Audit Negara Percepatkan Siasatan Terhadap 1MDB

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa agar Ketua Audit Negara mempercepatkan siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berkata keputusan siasatan perlu disegerakan bagi memberi jawapan kepada rakyat yang  berdepan pelbagai persoalan mengenai isu dan kontroversi yang dikaitkan dengan syarikat tersebut.

"Ahli Majlis Tertinggi mengambil maklum bahawa keputusan siasatan oleh Ketua Audit Negara perlulah dipercepatkan. Rakyat nak tahu akan hasil dan siasatan.

"Saya harap Ketua Audit Negara dapat membuat kenyataan tentang bila laporan tersebut boleh dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Isnin.

Menurut Najib, tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah selepas siasatan yang dijalankan oleh pelbagai agensi.

Beliau berkata, tindakan tegas itu juga merupakan gesaan oleh anggota Majlis Tertinggi yang berharap agar mereka yang bertanggungjawab  boleh dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa ahli Majlis Tertinggi juga telah menawarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membantu menyelesaikan kemelut yang melanda 1MDB.

"Beberapa anggota Majlis Tertinggi telah menawarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membantu dalam menyelesaikan masalah 1MDB.

"Apa-apa langkah tegas yang boleh diambil, atas nasihat ahli Majlis, kerajaan akan memberi pertimbangan dan akan membuat keputusan selanjutnya," katanya.

PAC, pada Isnin berkata akan memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada 19 Mei ini.

Prosiding ini akan turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah, kata pengerusinya Datuk Nur Jazlan.

Pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.

Umno, 1MDB

Artikel Lain