suria

PRK Rompin: BN Kekalkan Kemenangan Dengan Majoriti Lebih Kecil

Hasan Arifin (tengah) meraikan kemenangan di Parlimen Rompin bersama Adnan Yaakob (tiga kiri), Hishammuddin Hussein dan Shahrizat Abdul Jalil (kanan).

ROMPIN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi di Parlimen Rompin (P.091) dengan majoriti lebih kecil apabila calonnya, Datuk Hasan Arifin mendapat 23, 796 undi.

Beliau memperoleh majoriti 8,895undi.

Pencabarnya, Nazri Ahmad mewakili PAS memperolehi 14,901 undi.

Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Rompin, Datuk Fadzilla Salleh kira-kira pukul 10.25 malam Selasa.

Beliau juga mengumumkan terdapat sebanyak 591 undi rosak.

Turut hadir pada pengumuman rasmi PRK Rompin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin.

Terdahulu, sebanyak 38 pusat pengundian dengan 115 saluran dibuka seawal pukul 8.00 pagi Selasa bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Rompin lebih rendah iaitu 74 peratus berbanding 85.9 peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di kawasan sama.  

Pada pengundian awal Khamis lalu, sebanyak 85.1 peratus atau 464 orang daripada 545 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di empat pusat mengundi di kawasan parlimen ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya,Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.Pada PRU-13 dua tahun lalu, Jamaluddin mengalahkan calon PAS, Nuridah Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Keputusan tak rasmi, PRK Rompin

Artikel Lain