suria

Kadar Gaji Minimum Baharu Diumum Hujung Tahun Ini

Richard Riot Jaem.

PETALING JAYA: Sekiranya segala berjalan dengan lancar, golongan berpendapatan rendah boleh mengharapkan sedikit berita gembira pada hujung tahun ini apabila Kabinet mengumumkan kadar gaji minimum yang baharu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata kajian mengenai gaji minimum telah dilengkapkan dan dihantar untuk kelulusan Kabinet.

Riot bagaimanapun berkata adalah terlalu awal untuk mendedahkan kadar gaji minimum yang baharu itu.

"Kami menjalankan kajian sejak tahun lepas dan selepas mencapai perjanjian melalui lebih daripada 23 mesyuarat, cadangan itu dikemukakan kepada Kabinet dua bulan lalu untuk kelulusan," katanya.

Riot berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang ditubuhkan dibawah Perintah Gaji Minimum 2012 menyediakan satu laporan selepas melakukan beberapa perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk majikan dan pekerja.

"Gaji minimum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun lalu dan kami berharap gaji minimum baharu boleh dilaksanakan pada akhir tahun selepas mendapat kelulusan Kabinet.

"Sehingga itu, gaji minimum semasa masih diguna pakai," kata Riot ketika dihubungi.

Kadar gaji minimum sedia ada adalah RM900 untuk Semenanjung Malaysia dan RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sumber mendedahkan bahawa kadar gaji minimum baharu adalah RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia, RM900 bagi Sarawak dan RM850 untuk Sabah dan Labuan.

Difahamkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan RM1,200 sebagai kadar gaji minimum tetapi dibantah majikan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memberitahu terdapat kira-kira 3,072 kakitangan awam yang mendapat gaji kurang daripada RM850.

Ini adalah respons kepada kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda bahawa seramai 800,000 kakitangan awam di negara ini yang masih memperoleh gaji asas antara RM805 dan RM820 iaitu dibawah garis kemiskinan negara.


gaji minimum, Richard Riot Jaem

Artikel Lain