suria

Dua Polis Trafik Pengiring Ahmad Zahid Cedera

Dr Ahmad Zahid melihat keadaan salah seorang anggota polis trafik, Koperal Ramlan Arifin (kanan) yang cedera dalam kemalangan semasa mengiringi beliau di Butterworth, Pulau Pinang.
BUTTERWORTH: Dua anggota polis trafik cedera dalam kemalangan berhampiran Jalan Arowana di sini ketika mengiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan lawatan kerja sehari di Permatang Pauh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharom Abu berkata Kpl Ramlan Ariffin, 52, dan Kpl Zulkifli Md Desa, 48, dihantar ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk rawatan.

Katanya kemalangan pada pukul 9.50 pagi itu menyebabkan semua kenderaan dalam rombongan itu berhenti di tepi lebuh raya dan Ahmad Zahid sendiri turut membantu kedua-dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPT yang cedera itu sehingga ambulans tiba.

Dua anggota trafik itu adalah antara kumpulan anggota trafik yang mengiringi rombongan Ahmad Zahid dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth ke Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh di Tanah Liat dekat sini, katanya.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, seorang anggota pengiring mengarahkan semua kenderaan di laluan susur kiri memperlahankan kenderaan dan berhenti berikutan rombongan berkenaan ingin masuk ke laluan itu untuk ke Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

"Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda enggan memperlahankan kenderaannya untuk berhenti, sebaliknya terus memandu laju menyebabkan sebuah motosikal anggota pengiring terpaksa mengelak," katanya.

Baharom berkata motosikal anggota trafik yang mengelak kenderaan itu bergesel dengan sebuah lagi motosikal polis pengiring menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Beliau berkata kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki itu tidak berhenti, sebaliknya memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

"Kami tidak dapat nombor pendaftaran kenderaan itu," katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang nombor pendaftaran kenderaan pacuan empat roda berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut melawat kedua-dua anggota polis trafik itu di Hospital Seberang Jaya, selepas solat Jumaat.

Ramlan, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata kejadian itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus bertugas sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh nanti.

"Saya tidak ada masalah untuk terus bertugas walaupun mendapat cuti sakit, saya memang berminat. Cuma saya terkilan motosikal saya rosak teruk," katanya.

Menceritakan detik kemalangan itu, Ramlan yang mengalami kecederaan di muka, bahu dan lengan berkata ketika kejadian beliau berada di lorong kiri untuk masuk ke Jalan Arowana manakala rakan setugasnya, Zulkifli berada di hadapan.

"Tiba-tiba kenderaan 4WD dengan laju memotong dari hadapan untuk masuk ke situ juga.

"Zulkifli tidak sempat mengelak, dan saya juga tak sempat elak lalu kami bergesel. Saya nampak lepas kejadian konvoi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhenti dan mereka membantu kami sehingga ambulans tiba," katanya yang memberitahu bahawa Zulkifli patah buku lali kaki kanan.

Beliau berkata kejadian itu adalah yang pertama sepanjang 10 tahun beliau berkhidmat di unit trafik.

Artikel Lain