suria

Tiada Cadangan Larang Jual Minuman Bergula Kepada Individu Bawah 18 Tahun

Dr Hilmi Yahya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan belum bercadang melarang penjualan minuman tenaga yang mengandungi gula dan kafein kepada individu berusia 18 tahun ke bawah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata setiap individu berhak membeli minuman pilihan mereka kerana maklumat pemakanan atau kandungan bahan yang digunakan disertakan pada label setiap produk.

"Kita buat gerakan yang lebih positif iaitu dengan memberi penerangan dan penjelasan tentang bagaimana menjalani kehidupan sihat terutamanya dari segi pemakanan kepada semua golongan... daripada murid-murid sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti.

"Bagaimanapun, dari segi penguatkuasaan undang-undang, kita (kementerian) jalankan pemeriksaan rawak dan mengambil sampel sesuatu minuman itu dalam memastikan produk yang dijual mematuhi standard Peraturan-peraturan Pemakanan 1985, yang antaranya menetapkan jumlah gula yang dibenarkan di dalam minuman berperisa," katanya.

Dr Hilmi menjawab soalan Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg pada sesi soal Dewan Negara di sini, Khamis.

Dayang Madinah ingin tahu tindakan kementerian terhadap amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa minuman tenaga yang mengandungi gula dan kafein boleh mengundang bahaya kepada kesihatan kanak-kanak dan belia.

Dr Hilmi berkata kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan telah membekalkan panduan pengurusan kantin sekolah sihat yang melarang penjualan makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-peraturan Pemakanan 1985 di sekolah.

Katanya ini merupakan antara langkah bagi menggalak pemakanan secara sihat dalam kalangan murid sekolah sebagai usaha mencegah penyakit tidak berjangkit yang semakin membimbangkan.

"Selain itu, kementerian ini juga telah menjalankan program 'Doktor Sihat' di sekolah rendah, menengah dan universiti dalam memastikan mereka mengamalkan gaya hidup sihat termasuk dari segi makanan dan aktiviti sukan," katanya.

Dr Hilmi berkata kementerian juga menggalakkan syarikat minuman untuk menggantikan gula kepada stevia, contohnya produk Diet Coke, yang kini dijual di pasaran.

"Selain itu, kita cadangkan mereka (syarikat) mengeluarkan produk minuman dalam pek kecil supaya dapat mengurangkan gula di dalam minuman mereka," katanya.

Dr Hilmi Yahya, Diet Coke

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain