suria

Malaysia Eksploitasi STEM Untuk Pertumbuhan Masa Depan - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menyampaikan salinan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk Pendidikan Tinggi 2015-2025 kepada Pengarah International Bureau of Education (IBM-UNESCO), Mmantsetsa Marope di pejabat IBE di Geneva, Rabu.

GENEVA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan mengenai perlunya bagi Malaysia untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merentasi semua sektor untuk memastikan negara kekal pada landasan pertumbuhan yang memberi faedah keuntungan ekonomi dan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia telah beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian menjadi ekonomi berasaskan sumber dan pengeluaran.

Bagaimanapun, agak menggusarkan jika dilihat negara-negara yang bermula pada tahap yang sama dengan Malaysia telah berganjak kepada kedudukan yang lebih maju ke depan.

"Adalah jelas menunjukkan negara-negara ini telah menggunakan sepenuhnya STEM untuk meraih kejayaan," katanya semasa menjelaskan usaha Malaysia untuk memacu STEM ke hadapan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa melawat International Bureau of Education (IBE) di sini dan membentangkan pandangannya mengenai "Peranan STEM dalam Menyuburkan Pembangunan Lestari - Pengalaman Malaysia."

Geneva merupakan bandar raya kedua yang dikunjungi Muhyiddin selepas lawatan kerja tiga hari ke Paris berhubung usaha Malaysia untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco bagi penggal 2015-2019.

Muhyiddin berkata, untuk memastikan Malaysia berada dalam kurungan ekonomi maju berpendapatan tinggi, model ekonomi masa depan negara haruslah berasaskan sektor terbaik industri yang didorong terutamanya oleh pengetahuan dan inovasi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, menarik perhatian bahawa adalah jelas pembangunan modal insan dalam STEM amat penting untuk proses transformasi negara.

"Satu strategi merangkumi beberapa siri pelan tindakan haruslah berupaya untuk menyokong kadar pengeluaran yang diperlukan bagi menjana modal insan STEM yang berkemahiran pada dua tahap, iaitu sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, untuk mencapai sasaran 500,000 graduan STEM menjelang 2020," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata adalah perlu untuk memikat pelajar supaya meminati sains dan kelas sains, dan bagi Malaysia, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak lelaki.

"Kita perlu menjadikan mata pelajaran sains menarik, mudah difahami, lebih  praktikal dan berbentuk meneroka," katanya.

Hadir pada majlis itu ialah Pengarah IBE Mmantsetsa Marope.

IBE merupakan institut di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (Unesco) khusus untuk kandungan, kaedah dan struktur pendidikan.-- Bernama

STEM, Muhyiddin Yassin, IBE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain