suria

Pemuda Umno Sokong Kepimpinan Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (dua kanan) menyanyikan lagu rasmi Umno semasa perasmian Perjumpaan Kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Isnin menyokong penuh kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sokongan itu diberikan selepas presiden memberikan penjelasan yang cukup jelas terhadap semua isu yang dibangkitkan sayap parti.

"Pemuda Umno di bawah kepimpinan saya terus komited untuk memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada presiden parti dalam usaha memperkuatkan semua lapisan dalam parti secepat mungkin. Kita akan terus berdiri teguh di belakang pimpinan Umno.

"Saya menyeru kepada semua lapisan Pemuda Umno untuk terus berdiri di belakang pimpinan parti, presiden parti dan menyokong usaha kepimpinan untuk memperkukuhkan parti dan menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media selepas perjumpaan ketua-ketua pemuda Umno bahagian bersama presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Khairy berkata, isu yang dijawab presiden parti adalah isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Dijawab tadi dalam soalan-soalan dan isu-isu adalah dalam konteks isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir. Presiden parti menjawab satu persatu soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir, malah lebih daripada itu dia jawab isu-isu lain juga," katanya yang merujuk kepada persoalan Dr Mahathir mengenai isu antaranya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, jambatan bengkok dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu, Khairy menegaskan bahawa Pemuda Umno bukan memberi sokongan palsu atau yang membuta tuli kepada pemimpin parti.

"Kita sebagai anak muda dalam Umno kalau bagi sokongan yang membuta tuli kepada pemimpin yang beri pandangan dan pendapat yang kita tak boleh pertahankan, bukan sahaja pemimpin itu akan jatuh tetapi kapal Umno akan karam dalam pilihan raya akan datang. 

"Bagi saya, kalau hendak bagi sokongan palsu adalah tak guna sebab akhirnya kita sendiri yang akan tersungkur dalam pilihan raya akan datang. Buat apa kita bagi sokongan palsu, saja hendak bermuka-muka depan presiden, perdana menteri cuma semata-mata hendak jaga kedudukan kita," katanya.

Menurut Khairy, beliau mungkin mempunyai jawatan tetapi rata-rata exco Pemuda Umno tiada jawatan dalam kerajaan tetapi hanya sebagai pemimpin akar umbi. 

"Tak mungkin mereka akan memberi keyakinan kepada saya bahawa Pemuda Umno sokong presiden kalau sekiranya mereka merasakan presiden kita tidak layak untuk disokong.

"Bagi saya, kalau kita beri sokongan palsu dan berpura-pura, kita hanya menipu kepada diri sendiri sebab akhirnya kita akan berdepan dengan rakyat dan kapal Umno akan karam," katanya.

Beliau menambah, sokongan Pemuda Umno adalah kerana keyakinan dan kepercayaan dalam menyokong kepimpinan presiden parti.

"Walaupun kita tidak terperangkap dalam sindrom penafian,  tetapi kita percaya kalau kita bersatu dan bersungguh, serta presiden mengetuainya, saya percaya kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi pada hari ini," kata Khairy.

Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain