suria

Ketua-Ketua Umno Cawangan Pokok Sena Mahu Ahmad Lebai Sudin Minta Maaf

Ahmad Lebai Sudin

ALOR SETAR: Sekumpulan ketua-ketua cawangan Umno Bahagian Pokok Sena meminta Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin meminta maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Ketua Umno Cawangan Bukit Lada, Musa Ahmad yang mewakili kumpulan ketua-ketua cawangan itu berkata, tindakan Ahmad meminta Mukhriz meletak jawatan Menteri Besar adalah tindakan yang terburu-buru tanpa berbincang dengan Umno bahagian.

"Wakil rakyat yang tidak ada apa-apa jawatan seperti Ahmad tidak perlu terburu-buru keluarkan kenyataan. Biarlah kepimpinan Perhubungan Umno Negeri buat kenyataan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Sehubungan dengan itu, beliau juga meminta Adun Bukit Lada itu menarik balik kenyataannya semalam selepas menghadiri mesyuarat tergempar pemimpin Umno Kedah di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon.

Menurut Musa, pemimpin akar umbi bahagian Pokok Sena menyokong kepimpinan Mukhriz di peringkat negeri dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta Presiden Umno di peringkat pusat.

Beliau berkata, hubungan antara kedua pemimpin, Najib dan Mukhriz adalah amat baik sehingga membolehkan beliau diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk mentadbir negeri ini.

Katanya, kemesraan di antara kedua-dua pemimpin itu ketika berlangsungnya Konvensyen Umno Kedah baru-baru ini serta ucapan mereka tidak menggambarkan perbezaan pendapat di antara mereka berdua.

"Apa yang kami harapkan kenyataan yang bakal diumumkan oleh Mukhriz pada 24 April ini adalah menyokong kepimpinan Najib demi kepentingan Umno itu sendiri," katanya.

Mukhriz dijangka mengumumkan kenyataan rasmi Umno Kedah berhubung sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di Kuala Lumpur pada 24 April. -- Bernama 



Artikel Lain