suria

KJ Gesa PM Cepatkan Siasatan 1MDB

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno meminta Datuk Seri Najib Tun Razak mempercepatkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya mereka yang bertanggungjawab melakukan penyelewengan dapat dibawa ke muka pengadilan.

Ketua, Khairy Jamaluddin berkata, gesaan oleh Najib yang merupakan presiden Umno dan perdana menteri penting supaya isu itu dapat dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Presiden selaku perdana menteri dapat memastikan bahawa proses pengauditan ke atas syarikat 1MDB dapat dipercepatkan.

"Jika berlaku apa-apa penyelewengan atau pecah amanah, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa terus ke muka pengadilan," katanya pada sidang selepas perjumpaan ketua-ketua pemuda Umno bahagian bersama presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Isu 1MDB merupakan antara yang dibangkitkan oleh Pemuda Umno dalam pertemuan itu dan presiden parti memperjelaskannya secara terperinci.

Khairy berkata, perdana menteri bersetuju dan menyuarakan pendiriannya secara tegas berhubung siasatan terhadap 1MDB.

"Perdana menteri telah bersetuju dan menyatakan kesungguhan beliau untuk memastikan bahawa proses pengauditan itu dapat dijalankan dengan rapi, mendalam dan cepat.

"Sekiranya ada bukti penyelewengan, pecah amanah dan sebagainya, mereka yang terlibat akan diambil tindakan secara tegas dan cepat," katanya.

Menurut Khairy, isu 1MDB yang dibangkitkan sayap parti itu adalah dalam konteks isu yang turut dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain 1MDB, antara isu lain mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, jambatan bengkok dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).



Pemuda Umno, 1MDB

Artikel Lain