suria

Lelaki Singapura Ingin Cepat Kaya Ditipu Warga Afrika

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon.

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang ahli perniagaan Singapura untuk mengambil jalan pintas dalam meraih kekayaan dengan cara 'mencuci' wang membawa padah apabila dia ditipu tiga lelaki warga Afrika.

Lelaki berusia 54 tahun itu mengalami kerugian sebanyak AS$70,000 (RM252,000) ketika dia cuba membeli sejenis cecair kimia yang didakwa mampu mencuci wang kertas Amerika Syarikat (AS) atau 'black money'.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, mangsa bersama rakan dilapor telah bertemu dengan suspek di sebuah hotel di Jalan Tun Perak di sini sebelum mereka ditunjuk kaedah mencuci sejenis kertas yang akan bertukar menjadi dollar AS dengan menggunakan sejenis cecair kimia.

"Kerana sikap tamak untuk mendapatkan wang dollar itu, mangsa telah menyerahkan sebanyak RM252,000 kepada suspek untuk membeli cecair berkenaan dan mencuci baki kertas yang kononya akan bertukar menjadi wang AS.

"Mangsa kemudian diminta menunggu di bilik hotel itu sementara suspek mendapatkan cecair berkenaan. Setelah lama menunggu, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta mereka meninggalkan bilik berkenaan kerana polis akan membuat serbuan di situ.

"Selepas meninggalkan hotel tersebut, mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya. Setelah menyedari mereka ditipu, ahli perniagaan terbabit bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.

Hong Soon menambah, bertindak berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota dari IPD tersebut telah menahan tiga lelaki yang terdiri daripada seorang warga Guatemala dan dua dari Cameroon berusia lingkungan 35 hingga 38 tahun.

Jelasnya, hasil tangkapan polis telah dibawa ke sebuah kediaman di Ampang dan pemeriksaan menemui mata wang kertas berjumlah RM1 juta yang dipercayai palsu dan cecair kimia untuk kegiatan penipuan black money.

Menurutnya, turut ditahan untuk membantu siasatan adalah mangsa iaitu ahli perniagaan warga Singapura.

Singapura, Afrika, black money

Artikel Sebelum

Artikel Lain