suria

Hab Penerbangan: Kerajaan Diminta Pertimbang Mansuh Visa 37 Negara - Fernandes

Tony Fernandes (tengah), Arun Verma (kiri) dan Gareth Lim pada pengumuman serta pelancaran kerjasama terbaharu - Tune Labs pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbang untuk  memansuhkan visa bagi 37 negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.

"Kami bimbang tentang kira-kira 10 peratus daripada orang yang tinggal melebihi tempoh di Malaysia, tetapi (ada) 90 peratus (yang) perlu memohon visa dan kita mesti memudahkannya bagi mereka untuk datang ke Malaysia," katanya selepas melancarkan program 'Tune Labs' AirAsia di sini, Jumaat.

Tune Labs, yang ditubuhkan untuk membantu usahawan melalui inkubator dan program khusus, telah memperuntukkan RM5 juta sebagai pembiayaan awal untuk membantu syarikat permulaan dan perniagaan sedia ada untuk berkembang, terutama dalam sektor perjalanan, bayaran dan runcit.

Fernandes berkata, Malaysia merupakan satu daripada negara-negara yang paling maju dari segi pelepasan pasport dan AirAsia percaya Malaysia juga boleh menawarkan sistem visa dalam talian atau pra-pelepasan untuk pelancong.

"Indonesia telah mengecualikan visa bagi 30 negara dan Malaysia akan kehilangan daya saing dan dengan semua masalah yang dihadapi dalam industri penerbangan. Kita perlu cuba memudahkan (bagi pelancong)," katanya.

Indonesia baru-baru ini telah memperkenalkan dasar bebas visa bagi pelancong dari 30 buah negara lagi berbanding dari 15 negara sebelum ini.

Pada 2013, pelawat asing ke Malaysia berjumlah 25.72 juta berbanding Indonesia sebanyak 8.8 juta dan Thailand 26.55 juta.-- Bernama

hab penerbangan, Tony Fernandes, visa

Artikel Lain