suria

Helikopter Terhempas Dikendali Secara Eksklusif Cempaka Aviation

Helikopter Dauphin.
KUALA LUMPUR: Eurocopter AS365N2 Dauphin yang terhempas di Semenyih, Selangor, Sabtu lalu diurus dan dikendali secara eksklusif oleh syarikat penerbangan swasta, Cempaka Aviation.

Ia bagaimanapun dimiliki Orion Corridor Sdn Bhd, di mana IGB Corp Bhd adalah pemegang sahamnya.

Dalam satu kenyataan di sini Isnin, IGB Corp berkata, ia difahamkan Cempaka Aviation sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca tragedi.

Berikutan pertanyaan media mengenai insiden helikopter itu, IGB Corp mengesahkan yang Datuk Seri Robert Tan daripada IGB Corp, bukan penumpang penerbangan malang tersebut.

"Ingatan dan doa kami adalah untuk keluarga dan rakan-rakan kru serta penumpang yang kehilangan nyawa secara tragik dalam insiden itu," katanya.

Dalam nahas di Semenyih yang berlaku kira-kira jam 4.50 petang itu, helikopter AS365 enjin berkembar pelbagai guna itu terhempas dan terbakar di sebuah ladang getah di Kampung Sungai Pening.

Ia mengorbankan enam orang, termasuk Anggota Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias. 

Artikel Lain