suria

PM Perlu Jawab Kritikan Tun M - BNBBC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya menjawab segala tuduhan dan kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbirannya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC),Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sudah sampai masanya untuk Najib mempertahankan setiap keputusan dan tindakan yang dibuat selama ini.

"Kami nasihat dan beri pandangan kepada perdana menteri kerana tentunya sampai masa nanti, beliau perlu jawab sendiri. Dia akan jawab saya yakin.

"Saya fikir ini tidak jadi masalah untuk beliau beri jawapan. Kadang-kadang kita tak boleh buat tak tahu dan saya yakin perdana menteri akan memeberi jawapan kepada tuduhan yang dilemparkan," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Minggu lalu, Dr Mahathir secara terbuka mengkritik pentadbiran Najib dan meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang sekiranya parti itu dan Umno masih diterajui Najib.

Malah Dr Mahathir juga membangkitkan beberapa isu kontroversi yang menyelubungi pentadbiran Najib termasuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun menurut Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) turut akan memainkan peranan memberi penjelasan kepada setiap dakwaan dan tuduhan terhadap pentadbiran Najib.

"Kita berbincang dengan perdana menteri, kami merasakan mana yang boleh dijawab terutamnaya isu pembelian jet, 1MDB, GST, BR1M...ini semua kita boleh jawab.

"Tun Mahathir tak tahu apa yang kami lakukan di peringkat akar umbi. Beliau orang atas, kami orang bawah dan lebih dekat dengan rakyat,” katanya.

BNBBC, 1MDB, GST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain