suria

Azmin Bidas Khalid, Nafi Buat Keputusan Populis

Azmin Ali.

SHAH ALAM: Azmin Ali membidas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah membuat keputusan yang populis.

Menteri Besar Selangor itu berkata, sejak mengambil alih jawatan itu pada September tahun lalu, dasar keputusannya sentiasa berdasarkan penglibatan dengan pihak berkepentingan termasuk pembatalan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Azmin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, beliau menerima maklum balas daripada penduduk, ahli Parlimen dan Adun mengenai projek berkenaan, menggunakan pendekatan seperti yang dititahkan Sultan Selangor.

"Saya juga mengadakan perbincangan yang panjang bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya mengenai keperluan yang perlu dipatuhi pemaju.

"Jadi, di manakah salah saya?" katanya kepada pemberita di Dewan Annexe, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Isnin.

Azmin berkata, sebagai ketua negeri, beliau mesti bertanggungjawab terhadap pihak berkepentingan dan perlu sedia mendengar suara mereka.

"Itulah yang saya lakukan. Saya di sini kerana rakyat, jadi saya perlu adil kepada rakyat. Bilakah saya mengkhianati rakyat?" soalnya.

Terdahulu, Khalid yang merupakan Adun Pelabuhan Klang mendakwa Azmin sebagai seorang 'oportunis yang membuat keputusan populis' .

Khalid berkata, keputusan Azmin itu termasuk pembatalan Kidex, penstrukturan semula air dan keputusan untuk menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hanyalah sekadar 'drama politik'.


Azmin Ali, Khalid Ibrahim

Artikel Lain