suria

Audit: FRIM Ditegur Guna Taktik Pecah Kecil Perolehan

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ditegur kerana gagal mematuhi prosedur perolehan bekalan dan perkhidmatan apabila menggunakan taktik memecahkecilkan jenis item yang sama dalam perolehannya.

Langkah itu digunakan supaya FRIM mendapatkan perolehan secara pembelian terus, sekaligus mengelak daripada menggunakan sistem sebut harga dan tender.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1, 2014, perolehan FRIM berjumlah RM737,285 bagi empat jenis item dan  membabitkan empat pembekal sama melalui kaedah ‘pecah kecil’.

“Semakan audit mendapati perolehan bekalan dan perkhidmatan daripada pembekal sama juga bagi jenis item yang sama telah dipecah kecil. Perolehan bagi jenis item berikut dibuat secara pembelian terus melebihi had iaitu membekal tenaga kerja berjumlah RM342,668 bagi 2012 sehingga 2014.

“Selain itu, pembelian terus membabitkan perolehan kawalan keselamatan mencecah RM250,431 bagi 2012 dan 2013, pembekalan peralatan telefon berjumlah RM72,186 bagi 2014 dan penyewaan kereta sebanyak RM72,000 pada 2014,” kata laporan berkenaan.

Laporan Audit Negara Siri 1, 2014 dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

Selain itu, Ketua Audit Negara turut menegur FRIM kerana gagal mematuhi had pembelian terus yang diturunkan kepada RM20,000 mengikut Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2014.

“Pada 2014, sebanyak empat perolehan berjumlah RM152,535 daripada 2,314 perolehan berjumlah RM11.62 juta tidak dibuat secara sebut harga walaupun jumlah perolehan tahunan bagi setiap jenis item melebihi RM20,000,” kata laporan itu lagi.

Keseluruhannya, Audit berpendapat, FRIM tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan dan ia boleh menjejaskan akauntabiliti pengurusan wang awam.

FRIM dalam maklumbalas berhubung perkara itu berkata, pihak kesuntukan masa untuk menguruskan sebut harga baharu bagi menggantikan perjanjian yang tamat tempoh.

"Ia bagi memastikan perkhidmatan itu tidak tergendala," katanya.


FRIM, Audit, Parlimen

Artikel Berikut

Artikel Lain