suria

Mayat Lelaki Dengan Kesan Tetak Di Tanah Perkuburan

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang dengan kesan tetakan di lehernya ditemui di tepi jalan kawasan Perkuburan Cina Kwong Fook berhampiran Kem Sungai Besi dekat sini, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui orang awam yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada pihak polis kira-kira 8.00 pagi.

Katanya, mayat berada dalam keadaan lengkap berpakaian baju kemeja petak kecil warna biru putih dengan kesan darah, seluar jean, berkasut dan memakai jam tangan di sebelah kiri.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri...dipercayai warga negara Indonesia, katanya ketika dihubungi.

Zainuddin berkata kawasan tersebut adalah kawasan berpagar dan pintu utama kebiasaan ditutup pada pukul 5 petang dan dibuka pada pukul 7 pagi.

Kunci pagar utama dipegang oleh penjaga kubur. Pada masa ini musim sembahyang kubur (Ching Ming), penjaga kubur tidak tutup pintu pagar utama sejak dua minggu lepas untuk kemudahan pengunjung, katanya.

Zainuddin berkata mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Tetak, Mayat

Artikel Lain