suria

Audit: Tadbir Urus Lemah Punca Pahang Technology Resources Rugi

KUANTAN: Kelemahan pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat menyebabkan sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. (PTR) mengalami kerugian lima tahun berturut-turut melibatkan kerugian terkumpul berjumlah RM2.12 juta pada tahun 2013.

Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 menyebut kerugian juga disebabkan pulangan dalam bidang bioteknologi masih belum diperoleh PTR.

"Antara aspek pengurusan yang kurang memuaskan termasuk ruang inkubator dan lot perniagaan tidak disewakan sepenuhnya, peningkatan kos penyenggaraan lebih tinggi berbanding pendapatan sewa serta Ahli Lembaga Pengarah tidak bermesyuarat secara berkala.

Selain itu jawatankuasa Audit dan Unit Audit Dalam tidak ditubuhkan, rancangan Korporat serta Garis Panduan dan Prosedur Kerja Pengurusan Kewangan tidak disediakan selain baucar bayaran dan dokumen sokongan tidak dicap Telah Bayar atau Jelas," menurut laporan itu.

Laporan itu disediakan oleh Jabatan Audit Negara yang dipetik dari laman web www.audit.gov.my.

Laporan itu mengesyorkan PTR mengambil langkah bagi meningkatkan prestasinya dengan menyediakan Rancangan Korporat dan Strategik yang lengkap dan komprehensif.

"PTR perlu memberi fokus kepada aktiviti perniagaan strategik yang menyumbang kepada pendapatan stabil untuk syarikat selaras dengan objektif penubuhan PTR.

"PTR juga perlu memperkemaskan tadbir urus korporat syarikat dengan menjadikan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia sebagai amalan terbaik bagi memelihara kepentingan syarikat dan kerajaan," kata laporan itu lagi.

PTR telah diberi amanah untuk memperjuangkan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia dan merupakan pusat sehenti untuk pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini.

Tujuan penubuhannya adalah untuk menjadikan negeri Pahang sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi maklumat dan bioteknologi, menyediakan tapak infrastruktur teknologi kepada sektor IT dan bioteknologi sebagai sumber pendapatan baharu untuk meningkatkan ekonomi negeri.

Audit, Pahang

Artikel Lain