suria

Pota Ambil Kira Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 mengambil kira hak asasi manusia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu boleh dilihat apabila rang undang-undang tersebut tidak menafikan pelbagai hak mereka yang ditahan di bawah undang-undang itu termasuk untuk memaklumkan alasan tangkapan dan hak untuk menemui waris serta mendapatkan khidmat peguam pilihan masing-masing.

"Saya memberi jaminan rang undang-undang ini telah mengambil kira hak asasi manusia yang perlu diberikan keutamaan sepenuhnya," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua.

Beliau berkata pihaknya turut memberi jaminan bahawa rang undang-undang tersebut tidak akan disalah guna oleh pihak berkuasa.

Katanya POTA tidak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dengan kuasa eksekutif menteri akan diambil alih oleh sebuah lembaga yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Wan Junaidi berkata pengerusi lembaga berkenaan perlu mempunyai kelayakan undang-undang serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 15 tahun dalam bidang perundangan.

"Tahanan 60 hari di bawah ISA dibuat oleh polis sedangkan di bawah POTA, tahanan 60 hari dibuat melalui proses mahkamah. Oleh itu hujah yang mengatakan ISA merupakan kembar POTA adalah hujah tidak berasas dan kurang tepat," katanya.

Beliau berkata meskipun POTA mempunyai semangat seakan sama dengan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, namun ia memberi penekanan kepada individu yang terlibat dengan kegiatan militan dan ekstremis.

"Walaupun POTA seakan sama dengan POCA, namun POCA itu sendiri telah memberi kesan yang amat positif dalam menangani jenayah berat dan terancang," katanya.

Justeru beliau berkata POTA kelak akan menjadi pilihan kepada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa dalam memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.

Wan Junaidi berkata kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia akan terus berada dalam keadaan aman dan harmoni tanpa diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan.

Katanya ia berikutan terdapat segelintir rakyat yang sanggup berjuang bersama kumpulan pengganas sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

"Apakah kita mahu melihat KLCC dan KLIA yang menjadi mercu kejayaan negara musnah dalam sekelip mata. Jadi undang-undang yang digubal ini mampu mengekang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Malah beliau berkata beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Indonesia telah mengambil langkah menggubal undang-undang bagi menangani ancaman keganasan.

Pota, Poca, Dewan Rakyat

Artikel Lain