suria

Laporan Audit: Projek Pengukuran, Pewartaan Tanah NCR Lewat

KUALA LUMPUR: Hanya 72 peratus daripada sasaran awal pengukuran tanah Hak Adat (NCR) di Sarawak seluas 730,000 hektar, dicapai untuk tempoh 2010 hingga 2014, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1.

Menurut laporan itu, kegagalan mencapai sasaran ditetapkan menyebabkan masalah pewartaan tanah seperti dituntut rakyat Sarawak berlarutan, sekali gus menjejaskan rancangan pembangunan tanah-tanah NCR.

"Didapati sasaran awal pengukuran tanah NCR tidak dapat dicapai dengan  hanya 521,965 hektar (72 peratus) dapat diukur.

"Antara sebab sasaran ini tidak dapat dicapai kerana penduduk menuntut kawasan lebih luas, pertikaian kawasan dan persetujuan untuk pengukuran, kes mahkamah, pertindihan dengan surat Hak Milik Sementara dan isu persempadanan," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin.

Kelewatan proses pengukuran itu turut menyumbang kepada masalah pewartaan apabila hanya seluas 271,438 hektar dicapai daripada 521,965 hektar tanah NCR yang telah diukur, menurutnya.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), di bawah Jabatan Perdana Menteri, dalam kenyataan balasnya kepada Audit bertarikh 5 Mac 2015, memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah berterusan untuk mempercepatkan proses pengukuran dan pewartaan tanah NCR.

Antara inisiatif ICU termasuklah penambahbaikan sesi dialog, meningkatkan aktiviti promosi serta pemerkasaan pemantauan melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas NCR.

"Sehingga 31 Jan 2015, pengukuran tanah NCR yang telah berjaya diukur adalah seluas 552,803 hektar (75.73 peratus)," menurut maklum balas ICU.

ICU turut memaklumkan sebab kelewatan proses pewartaan tanah NCR adalah kerana pertindihan dengan kawasan yang diluluskan untuk projek Native Customary Land (NCL) Development dan pertindihan tuntutan lebih daripada satu komuniti.

Rancangan pengukuran dan pewartaan tanah NCR terletak di bawah Program Khas Golongan Bumiputera Minoriti Sabah dan Sarawak (PKGBM), satu inisiatif khas untuk memajukan masyarakat Bumiputera di dua negeri itu.

Selain itu, Audit turut mengesan satu lagi kelemahan di bawah PKGBM iaitu projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri (MAN), institusi kehakiman untuk mentadbir undang-undang adat anak Sabah.

Laporan Ketua Audit Negara berkata, enam projek pembinaan MAN yang diluluskan pada 2012 dengan peruntukan sejumlah RM31.68 juta gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Sehingga 31 Okt 2014, sebanyak tiga projek MAN di Penampang, Keningau dan Kudat yang sepatutnya siap pada 2013, gagal disiapkan, manakala tiga lagi di Sandakan, Tuaran dan Lahad Datu masih dalam pelaksanaan serta lewat daripada jadual yang telah ditetapkan," katanya, yang merumuskan prestasi projek itu sebagai kurang memuaskan.

Pihak ICU dalam maklum balasnya berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai kaedah pemantauan untuk memastikan projek itu siap, seterusnya dimanfaatkan oleh kumpulan sasar.

"Antaranya mesyuarat penyelarasan dengan agensi pelaksana, lawatan ke tapak, intervensi teknikal, serta pelaporan prestasi projek secara berkala setiap dua minggu.

"Selain itu, pengurusan tertinggi ICU bersama 'stakeholders' (pemegang kepentingan) juga telah melaksanakan lawatan pemantauan ke tapak projek bermula Jun 2014, dan sehingga kini, sebanyak 10 lawatan telah dilaksanakan," menurut ICU.

Laporan Audit, Dewan Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain