suria

Audit: Kerajaan Kelantan Tak Warta Kadar Premium Balak

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan tidak mewartakan kadar premium hasil aktiviti pembalakan yang diusahakan di negeri itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara Julai hingga Oktober 2014 mendapati dari segi kutipan hasil keseluruhan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) adalah memuaskan dengan peningkatan hasil daripada RM50.91 juta pada 2012, RM59.03 juta (2013) dan RM64.94 juta pada 2014.

"Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan hasil daripada  aktiviti pembalakan seperti kadar premium dikenakan tidak diwarta, bayaran pampasan kayu balak dan denda lewat bayar tidak dikenakan manakala deposit ladang hutan dikenakan tidak mengikut kadar yang diwartakan.

"(Selain itu), terdapat tunggakan hasil 'tribute' konsesi hutan dan tunggakan hasil denda kesalahan hutan, (dan) kerugian hasil akibat kecurian  balak," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut, bagi menambah baik pengurusan hasil pembalakan, jabatan itu disyorkan mengambil tindakan seperti Jawatankuasa Kecil Perhutanan dan JPNK perlu memastikan semua bayaran pengusahasilan dikenakan mengikut kadar yang diwartakan dan denda dikenakan sekiranya lewat membuat bayaran; perlu memastikan 'tribute' konsesi hutan dan denda kesalahan hutan dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan dan meningkatkan pemantauan terhadap kes kecurian balak.

Selain itu, laporan itu turut menyebut pengauditan yang dijalankan pada Ogos hingga Oktober 2014 ke atas Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Majlis Daerah Ketereh (MDK) mendapati perolehan tidak mematuhi sepenuhnya peraturan kewangan yang berkuatkuasa.

"Sebanyak enam perolehan bekalan bernilai RM374,807; empat perolehan perkhidmatan bernilai RM601,020 dan enam perolehan kerja bernilai RM300,485 tidak dipelawa secara sebut harga.

"Kelemahan perancangan menyebabkan projek Rehat dan Rawat (R and R) di Pos Brooke, Lojing, Gua Musang lewat disiapkan, enam unit kios Mesin teler Automatik(ATM) di Ketereh yang siap belum disewakan dan 14 unit kedai di Dataran Usahawan Kok Lanas tidak disewa selama lapan tahun dengan anggaran kehilangan hasil berjumlah RM65,800," menurut laporan itu.

Kedua-dua majlis daerah itu disyorkan merancang dengan teliti sebelum membuat perolehan dan perlu mematuhi segala peraturan semasa membuat perolehan, serta menetapkan rancangan masa depan bagi projek-projek yang telah siap dibina supaya tidak terus membazir.

Sementara itu, audit yang dijalankan ke atas anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim milik kerajaan negeri iaitu KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB) yang menguruskan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti seperti sasaran pengambilan pelajar tidak mengikut kapasiti tempat yang disediakan, peningkatan tunggakan yuran pelajar, Corporate Integrity Pact/ Integrity Pledge belum dilaksanakan, pembayaran bonus tanpa kelulusan pihak berkuasa kerajaan negeri serta pengurusan kewangan dan pengurusan aset kurang memuaskan.

Laporan itu mengesyorkan supaya KDSB mewujudkan kaedah berkesan untuk mengutip yuran tertunggak supaya jumlah tunggakan dapat dikurangkan, mempergiat promosi memperkenalkan KIAS dan meningkatkan amalan tadbir urus korporat dengan mematuhi amalan terbaik Kod Tadbir urus Korporat Malaysia serta memastikan kawalan dalaman yang berkesan bagi pengurusan kewangan syarikat agar selaras dengan peraturan kewangan yang ditetapkan.

Audit, Kelantan

Artikel Sebelum

PM, Tun M Dah Bersemuka

Artikel Lain