suria

DAP Parti Bermuka-Muka - Yong

Yong Teck Lee.
KOTA KINABALU: DAP bersikap bermuka-muka selepas mendapati kerajasama dengan PAS menjadi liabiliti kepada kelangsungan parti itu di Sabah dan Sarawak, kata Datuk Yong Teck Lee.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, perpecahan DAP dan PAS di peringkat negeri adalah satu usaha untuk memastikan kelangsungan parti itu dalam menghadapi kejayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang berjaya mendapat sokongan masyarakat Cina.

"DAP berbohong mengenai hudud (semasa pilihan raya umum 2013) kembali menghantui mereka.

"DAP cuba mengheret mereka sendiri keluar daripada keadaan huru-hara dalam Pakatan. Dengan Ketua Pembangkang (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dipenjara, DAP meninggalkan Anwar dan sekarang secara terbuka memujuk rayu Umno untuk membentuk Pakatan 'Selamatkan Malaysia'," katanya.

DAP dan PKR mendapat pertambahan kerusi di Sabah dan Sarawak pada PRU-13 dengan DAP memberi jaminan bahawa agenda PAS untuk melaksanakan hudud di negara ini tidak akan tercapai.

PAS bagaimanapun gagal mendapat sokongan pengundi di Sabah dan Sarawak, kehilangan beberapa kerusi yang ditandinginya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dikritik beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah selepas beliau mencadangkan beberapa pemimpin dari negeri itu yang berpotensi untuk mengetuai negara ini.

Beberapa pemimpin BN Sabah turut menyifatkan DAP sebagai sekadar bermimpi.

Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said berkata DAP berusaha untuk memecahkan gabungan BN Sabah dengan mencadangkan beberapa pemimpin yang berpotensi untuk mengetuai pakatan baharu itu.

Selain Salleh, Lim turut mencadangkan pemimpin Umno, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Datuk Masidi Manjun serta Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

"BN Sabah amat teguh dan persoalan mengenai kerajaan perpaduan tidak timbul. DAP hanyalah bermimpi," kata Salleh.


DAP, hudud, Selamatkan Malaysia

Artikel Lain